top of page
nabalunews

Tiada rakyat Malaysia terkesan gempa bumi di Kepulauan Kyushu

9 Ogos 2024


PUTRAJAYA : Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkesan susulan gempa bumi dengan magnitud 7.1 di Kepulauan Kyushu, Jepun, sehingga mencetuskan amaran tsunami, semalam.


Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan bencana yang berlaku pada 4.33 petang waktu tempatan itu.


Harian Metro yang memetik kenyataan dikeluarkan Wisma Putra hari ini melaporkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta arahan yang diberikan pihak berkuasa tempatan.


Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo memantau rapi perkembangan bencana berkenaan.


Katanya, walaupun tiada kematian dilaporkan, pihak berkuasa masih membuat penilaian kemungkinan berlakunya kecederaan dan kerosakan serius.


"Rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan terjejas, dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka di https://ekonsular.kln.gov.my/.


"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +81-80-4322-3366," kata kenyataan itu.

Comments


bottom of page