top of page
nabalunews

Tiada stesen jana kuasa arang batu dibuka di Malaysia - Fadillah

10 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengurangkan penjanaan arang batu secara berperingkat dan tiada stesen jana kuasa elektrik arang batu baharu akan dibuka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata inisiatif ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap pengurangan pelepasan karbon, sejajar dengan peralihan global ke arah sistem tenaga yang rendah karbon.


Usaha ini merangkumi usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan memperkenalkan lebih banyak sumber tenaga bersih dan mampan, seperti tenaga solar, angin, dan hidroelektrik.


Fadillah turut menekankan bahawa langkah ini bukan sahaja penting bagi menjaga alam sekitar tetapi juga untuk memastikan keselamatan tenaga jangka panjang negara. Peralihan ini dijangka akan memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara terhadap cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidakstabilan harga bahan api fosil.


Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk inovasi teknologi hijau dan pembangunan industri tenaga bersih di Malaysia, seterusnya merangsang ekonomi negara ke arah yang lebih mampan.


Malaysia komited untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, dan pengurangan beransur-ansur penjanaan arang batu merupakan langkah penting ke arah mencapai sasaran ini.


Menurut Fadillah, Malaysia menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035 dan 70 peratus pada 2050.


“Pada masa ini, kapasiti boleh diperbaharui kita berada pada 28 peratus dan kemajuan teknologi akan menjadi kritikal kepada kemajuan kita.


“Kita akan beralih daripada arang batu. Penjanaan arang batu akan dihentikan secara berperingkat dan tiada stesen jana kuasa arang batu baharu akan diwujudkan… mengurangkan kebergantungan kepada arang batu adalah penting untuk mengehadkan pemanasan global,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Clean Energy Transition Asia (CETA) Summit 2024 bersempena dengan International Greentech and Eco Product Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.


Fadillah berkata kerajaan kini ke arah meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus dengan melabur dalam grid pintar, pendigitalan dan sistem penyimpanan tenaga menjelang 2035.


Beliau berkata langkah ini bagi menyokong dan meningkatkan keselamatan tenaga dalam kalangan negara anggota. Selain itu, grid integrasi serantau boleh menjadi pemangkin ekonomi dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan.


Sementara itu., ketika Malaysia bersiap sedia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, Fadillah berkata ia menandakan peluang penting bagi negara untuk menerajui rantau ini dalam memajukan perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan.


“Inilah masanya untuk kita memacu perkongsian pengetahuan, memajukan inovasi dasar dan meletakkan Malaysia selaku peneraju serantau dalam peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih.


“Kita akan memberikan komitmen tidak berbelah bahagi kepada kemampanan dan memacu kemajuan yang bermakna di seluruh ASEAN dengan memanfaatkan industri utama, semikonduktor, kenderaan elektrik dan pendigitalan,” katanya.


Fadillah berkata apabila permintaan global terhadap elektrik hijau meningkat, Malaysia bersedia merebut peluang ini dan berhasrat menarik lebih banyak pelaburan asing yang akan memacu ekonomi hijau negara.

Comments


bottom of page