top of page
nabalunews

Tidak perlu tunggu hak milik tanah untuk bina sekolah, klinik di Sabah – Ketua Menteri


8 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi dengan segera, terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan akses kepada perkhidmatan asas seperti sekolah dan klinik, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menegaskan bahawa pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti pembinaan sekolah dan klinik, boleh dimulakan tanpa perlu menunggu proses pemindahan hak milik tanah diselesaikan.


Beliau menjelaskan bahawa selagi tapak tanah bagi projek tersebut telah diwartakan khusus untuk pembangunan Persekutuan, tiada halangan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan.


“Kerajaan negeri sudah memutuskan bahawa tidak perlu menunggu sehingga ada pemilikan tanah, asalkan tanah terbabit sudah diwartakan untuk projek pembangunan kerajaan Persekutuan.


“Jika tanah diperlukan untuk membina sekolah atau klinik, kita perlu mempermudahkan supaya tidak berlaku kelewatan dalam pelaksanaannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) di Wisma Tun Fuad, di sini, hari ini.


Ketibaan Ketua Menteri disambut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk James Ratib.


Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.


Ketua Menteri turut menggesa agar KPMKR mengadakan libat urus dengan agensi persekutuan yang berkaitan di Sabah bagi mengukuhkan kerjasama dengan mereka.


“Jika ada libat urus dan kerjasama, kita boleh melaksanakan projek pembangunan dengan lancar,” katanya sebagai maklum balas kepada isu yang dibangkitkan James.


Hajiji turut memuji pelan proaktif KPMKR untuk memperbaiki kemakmuran dan kesihatan rakyat melalui penubuhan Pusat Autisme Sabah di Sembulan dan perolehan, antaranya mesin Positron Emission Tomography scan (PET scan) serta Single-Photon Emission Computed Tomography (SPECT scan).


Kedua-dua mesin imbasan berkenaan digunakan untuk mengesan kanser dan boleh didapati di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.


Terdahulu, Hajiji dan rombongan diberi taklimat mengenai perancangan dan program kementerian oleh Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Maria Chong.


Hajiji menyifatkan KPMKR sebagai satu komponen penting dalam sistem kerajaan, sejajar dengan salah satu tumpuan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Comments


bottom of page