Tidak wajar minta Anwar letak jawatan
22 Nov 2021
Oleh Farah Salim
SELANGOR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin tidak bersetuju bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meletak jawatan ekoran kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Menurut Hanipa, dia menerima banyak mesej yang memintanya untuk bersetuju dan menyalahkan Anwar ke atas kekalahan PH, khususnya PKR pada PRN tersebut.
“Secara jujur, bagi saya, sesiapa pun berhak mengkritik hatta sepedas mana pun ke atas para pimpinan PH termasuk Anwar akibat kekalahan tersebut.
“Namun, jika anda tanya pendapat saya, adakah Anwar wajar disalahkan dan diminta berundur dari memimpin PH, maaf, saya tidak mampu untuk bersetuju dengan anda sekurang-kurangnya untuk masa kini,” katanya dalam ciapan di laman sosial Facebooknya.
Jelas beliau, adalah tidak adil untuk menyalahkan bahawa Anwar seorang sahaja sebagai punca kepada kekalahan PH kerana sebarang keputusan dibuat PH adalah secara kolektif dan bukannya individu.
“Ya, dengan hormat, agak ‘fair’ untuk mengatakan bahawa Anwar ada ‘saham’ bagi kekalahan PH dan kesemua calon PKR di Melaka, tapi harus dingat segala keputusan PH bukan dilakukan oleh Anwar seorang sahaja.
“Setahu saya, PH sentiasa dipandu atas keputusan kolektif. Maka menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan bersifat keputusan tunggal sebaliknya, ia adalah keputusan kolektif, bagi saya, maaf cakap, adalah tidak adil,” katanya.
Hanipa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti Amanah Negara juga berkata, dia tidak tersinggung sedikit pun jika ada pihak yang melabelnya sebagai pro-Anwar.
“Sejak dahulu, saya sentiasa berusaha untuk mendidik diri saya cuba berlaku adil kepada sesiapa pun hatta sebenci mana pun saya kepada sesiapa pun.
“Sudah tentu sebagai insan yang lemah pendirian saya juga tidak sunyi dari kelemahan.
“Saya, secara peribadi, masih merasakan PH masih perlukan khidmat Anwar bersama kepimpinan PH yang sedia ada,” katanya.
Gesaan untuk Anwar mengundurkan diri dari tampuk kepimpinan pembangkang timbul selepas kekalahan PKR di kesemua kerusi yang ditandingi meskipun meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam PH pada PRN Melaka baru-baru ini.
Comments