Tiga agensi naungan Yayasan Sabah anjur majlis apresiasi di Keningau
24 Oktober 2024
KENINGAU: Majlis Apresiasi Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2024 dan Pelancaran Craft Fiesta Pusat Kraftangan Sabah 2024 telah berlangsung dengan meriah hari ini di Pusat Kraftangan Sabah, Keningau.
Acara ini dianjurkan oleh tiga agensi di bawah naungan Yayasan Sabah, iaitu University College Sabah Foundation (UCSF), Pusat Kraftangan Sabah (PKS), dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS).
Majlis dirasmikan oleh Datuk Seri Panglima Dr. Jeffery G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan serta Ahli Parlimen P.180 Keningau.
Majlis ini, yang julung kalinya diadakan di Keningau, bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para pelatih dan peserta yang berjaya menamatkan program pembangunan modal insan.
Di samping itu, ia turut mempamerkan kreativiti serta kemahiran mereka dalam menghasilkan produk seni dan kraftangan melalui kursus kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi-agensi terbabit.
Selain penyampaian sijil kepada peserta, acara ini turut menyaksikan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 bagi Operasi Pembuatan Produk melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Sijil Penyertaan diberikan kepada peserta Program PKAN Sabah, manakala Sijil Penghargaan diserahkan kepada rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Pada majlis yang sama, Dr. Jeffery turut merasmikan Craft Fiesta Pusat Kraftangan Sabah 2024, selain meluangkan masa melawat Galeri PKS serta pameran hasil kerja tangan peserta PKAN 2024, yang menonjolkan kreativiti dan kepakaran dalam seni kraf tempatan.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU), Samsul Dollah, bersama pegawai-pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat, yang turut memberi sokongan kepada usaha pembangunan bakat tempatan melalui program-program kemahiran dan keusahawanan ini.
Yorumlar