Tiga mangsa bot karam diselamatkan

27 Februari 2025
SANDAKAN: Tiga nelayan berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka hampir karam dalam kejadian di perairan Kuala Pitas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, ketiga-tiga lelaki berusia antara 18 hingga 52 tahun terbabit sempat diselamatkan bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan selepas beberapa jam terkandas.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan pada 10.50 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, bot ronda PPM terus digerakkan ke lokasi berkenaan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi yang turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menemui semua mangsa di kawasan Sungai Tanjung Batu, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Hasil siasatan awal, semua mangsa dipercayai dari laut Bambangan ke Kertam untuk menangkap ikan sebelum terkandas akibat alami kebocoran di lokasi laut Kuala Pitas.
"Bot mereka dikatakan mengalami kebocoran sehinggakan mereka terpaksa menimba air dalam bot bagi mengelak karam sebelum berjaya ditemui bot ronda PPM," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bot ronda PPM kemudian mengiringi bot mangsa sehingga ke Kuala Tanjung Batu.
"Semua mangsa berada dalam keadaan baik dan selamat tiba di Kampung Bambangan," katanya.
Comentarios