top of page
nabalunews

Tiga rumah setinggan atas air di Sembulan Tengah diroboh



8 Januari 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan operasi perobohan bersepadu terhadap tiga rumah setinggan atas air di Kampung Sembulan Tengah pada Isnin lalu.


Operasi ini menyasarkan struktur yang usang dan tidak selamat untuk didiami, selain menamatkan penyewaan kepada warga asing di kawasan tersebut.


Operasi yang bermula pada jam 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan 150 anggota dari pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), dan Sabah Electricity.


Turut membantu adalah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.22 Tanjung Aru, serta beberapa jabatan dalam DBKK seperti Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal.


"Hasil pemeriksaan mengenal pasti empat rumah di kawasan tersebut yang tidak lagi selamat, selain tempoh pajakan tanah yang telah tamat," jelas DBKK dalam kenyataan akhbar.


Mayor Kota Kinabalu, Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, yang hadir memantau operasi itu, turut menekankan pentingnya mematuhi prosedur kerja yang telah ditetapkan.


Sebanyak lima aset logistik, termasuk lori dan kenderaan pacuan empat roda, digerakkan bagi membantu proses perobohan. Penyewa rumah telah pun diberi notis awal sebelum tindakan ini dilaksanakan.

Comentarios


bottom of page