Tiga rumah Taman Jumbo terbakar
3 Februari 2025
Kota Kinabalu: Tindakan pantas pasukan bomba mengawal api daripada terus merebak berjaya menyelamatkan beberapa lagi rumah di Taman Jumbo, Petagas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua rumah musnah manakala sebuah lagi hanya mengalami kebakaran kecil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari.
Katanya, sepasukan 30 anggota dan pegawai bersama jentera termasuk pasukan bantuan daripada BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah jenis kekal dua tingkat dengan keluasan setiap rumah 45 meter persegi setiap satu.
“Api berjaya dikawal pada jam 1.04 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan empat pancutan dijalankan dengan dua aliran sepanjang 60 meter dari sumber air pili bomba dan tangki jentera.
Katanya, sebaik api berjaya dipadamkan, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.38 petang.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik,” katanya.
Comentarios