top of page
nabalunews

TikTok beri jaminan jalin kerjasama dengan MCMC, BNM tangani buli siber dan ancaman scam

14 November 2024


LIMA (Peru): Platform media sosial TikTok memberi jaminan untuk menangani isu-isu seperti buli siber dan ancaman scam menerusi kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam pertemuannya dengan delegasi TikTok, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, di sini hari ini.


"Dalam pertemuan ini, saya bangkitkan beberapa perkara antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Jan tahun depan."


"Saya juga menyentuh isu seperti buli siber, ancaman scam serta budaya fitnah yang berleluasa di Malaysia menerusi TikTok,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata turut dibincangkan ialah kerjasama antara Kerajaan MADANI dan TikTok di Malaysia.


“… dan mereka memberi perakuan (akan) melanjutkan pelaburan secara besar-besaran,” katanya.


Beliau berkata TikTok juga komited menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Comments


bottom of page