top of page

Tindakan tegas terhadap ibu bapa cuai, abaikan keselamatan kanak-kanak – SUHAKAM

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 12, 2023
  • 1 min read

12 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, emosi atau kematian kanak-kanak.


Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM Dr Farah Nini Dusuki berkata, kes-kes seumpama itu bukanlah kemalangan tetapi kesalahan serius di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan semalam, berikutan kes seorang bayi lelaki berusia satu tahun tujuh bulan yang meninggal dunia akibat hanyut dibawa arus deras di Sungai Ketil, Lubok Pedati, Baling, Kedah pada Sabtu lalu.


"Kecederaan fizikal dan emosi atau kematian kanak-kanak disebabkan kecuaian ibu, bapa atau penjaga merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 31 Akta 611.


"Jika disabitkan kesalahan, ibu, bapa atau penjaga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.


Tambah beliau, hukuman itu merupakan peningkatan hukuman yang dibuat dalam Akta 611 pada 2016 sebagai suatu bentuk pencegahan terhadap kes kecuaian melibatkan kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa atau penjaga.


Beliau turut berkongsi data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang menunjukkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun pada 2018 meningkat berbanding 2017 dengan negeri Sabah mencatatkan angka tertinggi iaitu 12.7 per 1,000 kelahiran.


Menurut data berkenaan, antara punca utama kematian adalah kes yang boleh dicegah seperti kecederaan dan jangkitan akibat tiada imunisasi


Beliau juga menegaskan bahawa Seksyen 31 dan 33 Akta 611 turut diperkasakan dengan menambah hukuman khidmat masyarakat.


"Ia termasuk, antara lain, mewajibkan kehadiran ke bengkel keibubapaan ke atas ibu bapa atau penjaga yang cuai dan sengaja membiarkan anak tanpa pengawasan," katanya.


Beliau menggesa semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak sebagai aset negara.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page