top of page
  • nabalunews

Tindakan Tolak MOU Peruntukan Pembangkang Bukan Penamat Rundingan - Fahmi


16 September 2024


KOTA KINABALU: Keputusan pembangkang untuk menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada mereka tidak bermaksud rundingan mengenai perkara tersebut telah berakhir, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.


Menteri Komunikasi itu menegaskan bahawa kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalankan perbincangan serta kerjasama dengan pihak pembangkang.


“Sejak hari pertama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengangkat sumpah, beliau telah menghulurkan tangan untuk mengadakan kerjasama dan rundingan dengan pihak pembangkang," katanya.


"Kerajaan masih terbuka sekiranya pembangkang mahu meneruskan rundingan berkenaan MoU tersebut. Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, juga telah memaklumkan bahawa kerajaan kini menunggu maklum balas dan cadangan rasmi daripada pihak pembangkang," tambahnya lagi.


Fahmi menyatakan perkara tersebut kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Seni Tradition In Tune 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.


Semalam, pihak pembangkang sebulat suara menolak draf MoU itu dengan memberikan empat sebab utama. Mereka mendakwa bahawa beberapa syarat dalam MoU tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan berpotensi menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.


Fahmi juga menekankan pentingnya keikhlasan dalam usaha untuk mencapai persefahaman, seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa berada di pihak pembangkang.


“Ketika itu, kami memasuki rundingan dengan hati yang terbuka dan akhirnya, manfaat yang diperoleh bukan sahaja dirasai oleh Ahli Parlimen PH tetapi juga rakyat keseluruhannya,” katanya.


Dalam ucapannya mengenai Pesta Seni Tradition In Tune 2024, Fahmi mengajak orang ramai untuk mengambil peluang menyertai pelbagai acara yang dianjurkan, termasuk pameran seni realiti maya, teater muzikal, dan kejohanan e-sukan. Acara ini berlangsung hingga 18 September dan dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia.


Beliau turut menyatakan sokongan terhadap acara ini yang dianjurkan oleh Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Comments


bottom of page