top of page
  • nabalunews

Titah Agong Beri Mesej Jelas Penerima Darjah Kebesaran Tidak Kebal Undang-undang - Fahmi


8 September 2024


KUALA LUMPUR: Amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum mahkamah, adalah mesej jelas bahawa mereka tidak kebal daripada undang-undang kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menjunjung kasih atas titah Sultan Ibrahim itu.


Fahmi berkata ingatan berkenaan menunjukkan Seri Paduka Baginda mahu mereka yang menerima kurniaan tersebut supaya sentiasa menjaga peribadi dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah terutama rasuah.


“Titah Tuanku memberikan satu pedoman kepada kita bahawa mereka yang telah menabur bakti kepada kerajaan serta masyarakat secara amnya wajar diraikan dan diiktiraf, tetapi pada masa sama, pengiktirafan itu tidak bermaksud mereka kebal undang-undang," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Hari-Hari Bola ‘Piala MADANI’ Lembah Pantai di Universiti Malaya, di sini hari ini.


Terdahulu pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala kurniaan itu akan ditarik balik.

Comments


bottom of page