TNB Salur 60 Peratus Keuntungan Kepada Rakyat menerusi GLIC

28 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan penyaluran 60 peratus keuntungan kembali kepada rakyat susulan prestasi kewangan yang kukuh dan mampan bagi tahun 2024.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, keuntungan itu akan diagihkan melalui dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Katanya, antara agensi terlibat adalah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).
“TNB memastikan rakyat Malaysia, pesara dan generasi akan datang mendapat manfaat daripada sektor tenaga yang stabil dan berfokus kepada masa hadapan.
“TNB mengamalkan polisi keuntungan yang memastikan pendapatan syarikat dilaburkan
semula ke dalam inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, 60 peratus dividen TNB membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
Katanya, peranan TNB bukan sekadar membekalkan tenaga ke rumah dan perniagaan, sebaliknya turut memacu kemajuan negara.
“Dividen yang diumumkan oleh TNB memberi manfaat kewangan secara langsung kepada berjuta rakyat Malaysia melalui GLIC, yang secara kolektif memegang lebih daripada 60 peratus saham TNB.
“Ini memberi jaringan keselamatan kewangan yang lebih besar kepada pesara dan rakyat Malaysia, di samping menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara untuk jangka
panjang,” katanya.
Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata, TNB juga giat memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak nyata kepada rakyat Malaysia.
Katanya, ia merangkumi empat teras utama iaitu pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini termasuk memperluaskan projek pembekalan elektrik (elektrifikasi) di kawasan
luar bandar, menyediakan program latihan pendidikan dan kemahiran, serta membiayai
projek lestari berasaskan komuniti.
“Prestasi kewangan yang kukuh membolehkan TNB melabur semula dalam infrastruktur
negara, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperluaskan akses kepada tenaga bersih
yang mampu milik bagi kediaman serta perniagaan, sekaligus memperkukuh pertumbuhan mampan Malaysia.
“Apabila TNB maju, Malaysia juga makmur. Ini bukan semata-mata mengenai keuntungan, tetapi turut memastikan masa depan di mana setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada bekalan tenaga yang mampan, berpatutan dan berdaya harap,” katanya.
Comments