Tragedi mandi di kolam, seorang pelajar mati lemas, seorang lagi diselamatkan
- nabalunews
- Sep 27, 2024
- 1 min read

27 September 2024
KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon mandi manda di sebuah tasik berhampiran residensi Menggatal, tengahari tadi bertukar tragedi apabila seorang daripadanya mati lemas manakala seorang lagi hampir lemas, namun berjaya diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.44 tengahari tadi.
Katanya sepasukan 13 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 10 kilometer dari balai.
Turut terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat (SAR) adalah 4 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Zon Kota Kinabalu.
"Kejadian melibatkan 2 orang mangsa lemas di dalam tasik semasa menjalankan aktiviti mandi manda bersama rakan-rakan yang lain seramai 20 orang (pelajar SMK Tebobon).
"Mangsa pertama berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan kecemasan Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR) oleh rakan mangsa sehingga sedar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Agustavia berkata operasi SAR mangsa kedua dilakukan menerusi kaedah pencarian di kawasan tepi dan permukaan tasik.
Katanya mangsa telah dijumpai oleh pasukan bomba di kedalaman 10 kaki atau 3 meter di tasik pada jam 2.48 petangdan disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut bomba, kedalaman tasik itu dianggarkan 4 meter.
Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi bomba ditamatkan jam 3.12 petang tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali
Hazwi Danial A. Rashid, 14 tahun manakala mangsa yang terselamat dikenali Adi Iskandar Abdullah, juga berusia 14 tahun.
Comments