top of page
nabalunews

Trek baharu Minitinduk Gorge 1851 Kiau dalam proses akhir pelaksanaan



25 November 2024


KOTA BELUD: Minitinduk Gorge adalah laluan asal pada zaman silam untuk mendaki ke puncak Gunung Kinabalu, yang digunakan oleh pendaki pertama yang didokumentasikan menakluki puncak tertinggi di Malaysia itu, Sir Hugh Low pada 1851.


Selepas satu lagi laluan pendaki dibuka pada tahun 1924 oleh R.F. Evan dan Sarel, pendaki dan pelancong tidak lagi menggunakan laluan asal ini yang terletak di Kampung Kiau, daerah Kota Belud.


Minitinduk Gorge atau Gaung Minitinduk kini menjadi tumpuan semula menerusi program Lawatan Pengenalan laluan Sir Hugh Low ke Gaung Minitinduk 1851 atau Familiarization Trip (FAM) "Sir Hugh Low Route to Minitinduk Gorge 1851" yang dianjurkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah dengan kerjasama Koperasi Minitinduk Kiau Berhad pada 24 November lalu.

Program ini berjaya memperkenalkan trek pelancongan baharu yang kaya dengan nilai sejarah dan keindahan alam semula jadi di Kiau, Kota Belud.


Laluan ini, yang mengikuti jejak perjalanan Sir Hugh Low ke Minitinduk Gorge pada tahun 1851, membawa peserta menyusuri trek sepanjang 9.3 kilometer dengan masa perjalanan sekitar 7 jam 30 minit.


Perjalanan bermula di Dewan Kiau Nuluh, menuju ke Minitinduk Gorge, dan berakhir di kawasan Tamu Desa Kampung Kiau.


Trek ini diharapkan menjadi daya tarikan pelancongan baru, terutamanya bagi peminat sejarah dan pendaki.


Martin Moguring, Pengerusi Koperasi Minitinduk, menjelaskan bahawa trek ini menonjolkan kelainan kerana ia memberikan pengalaman sejarah dan pemandangan semula jadi yang unik. Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi maklum balas dan cadangan bagi memperbaiki trek tersebut.


Menurut Ridzuan Saudi, Pegawai Latihan IKMa Zon Sabah, Koperasi Minitinduk dipilih sebagai koperasi tumpuan IKMa di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diterajui oleh Datuk Ewon Benedick. Program ini bertujuan membantu koperasi memajukan perniagaan pelancongan serta memperkukuhkan daya saing mereka.


Seramai 34 peserta daripada pelbagai organisasi termasuk Outward Bound Sabah (OBS), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, dan BOMBA Kota Belud menyertai program ini.


Wakil agensi pelancongan seperti Amazing Borneo Tours, Pro Dev Adventure, Borneo Ethnic Nature Service, dan Borneo Wakid Adventure juga turut serta mencuba laluan tersebut, menjadikan program ini platform penting untuk promosi dan kolaborasi.


Program ini bukan sahaja mengangkat potensi pelancongan Kiau tetapi juga memperkukuhkan kedudukan koperasi dalam sektor pelancongan tempatan.

Comments


bottom of page