TREK JOGING TAMPARULI KINI PUNYA LAMPU LIMPAH SOLAR
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_d55495f0696c405db0fa884861992658~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_d55495f0696c405db0fa884861992658~mv2.jpg)
13 NOV 2020
TAMPARULI: Masyarakat di kawasan Tamparuli kini boleh beriadah pada waktu malam apabila kawasan Trek Joging Tamparuli yang dibina beberapa tahun lepas akhirnya mendapat kemudahan lampu limpah solar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, sekiranya kemudahan itu membawa manfaat, maka fasa kedua adalah bagi menambah jumlah lampu solar di kawasan riadah itu.
"Fasa ketiga mungkin kita akan laksanakan pada tahun hadapan melibatkan pembinaan stesen kecergasan (fitness zone) di setiap 100 Meter bagi memberikan kemudahan tambahan kepada semua pengunjung untuk bersenam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Rekreasi Riadah Santai bersama pemimpin tempatan di Trek Joging Tamparuli, kelmarin.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_29566f5211fb4eaca8f33bfcbdacd6b2~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_29566f5211fb4eaca8f33bfcbdacd6b2~mv2.jpg)
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pengerusi Kelab Tamparuli Sabah, Datuk Francis Soon, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat, Hamzah Md. Tahir, Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat, Datin Malianah Ugau dan Timbalan Ketua PBS Bahagian, Madin Anak.
Jahid bersama barisan pemimpin peringkat daerah kecil Tamparuli dan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian turut meninjau lampu limpah solar yang dipasang itu sambil memeriksa keberkesanannya kepada pengguna kemudahan beriadah tersebut.
Menurutnya, masyarakat di seluruh Tamparuli kini berpeluang untuk beriadah pada bila-bila masa dengan adanya kemudahan berkenaan.
"Tujuannya supaya orang yang lambat balik dari kerja mempunyai masa untuk senaman petang hingga malam, juga bagi mereka yang ingin berjoging pada awal pagi sebelum kerja," katanya yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.
"Cuma, buat masa ini, kita sedang mencari jalan, siapa yang akan bertanggungjawab dalam soal kebersihan rumput di sini nanti," katanya.
Katanya, kesihatan merupakan asas kebahagiaan, justeru, beliau berharap semoga kemudahan tersebut digunakan sebaik mungkin oleh semua lapisan masyarakat dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya di kawasan Tamparuli.
Beliau turut berterima kasih kepada beberapa sukarelawan dalam kalangan penduduk setempat yang sudi membantu memotong rumput di kawasan itu, termasuk juga Kelab Tamparuli Sabah, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) dari kawasan Tamparuli sendiri.
Trek Joging Tamparuli dibina pada 2017 di kawasan Tapak Tamu Pekan Tamparuli.
Comments