Trend keciciran pelajar tunjuk penurunan ketara, bukti inisiatif berterusan KPM
4 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Trend keciciran pelajar di Malaysia menunjukkan penurunan ketara dari tahun 2020 hingga 2024, membuktikan kejayaan inisiatif berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh mendedahkan bahawa di peringkat rendah, kadar keciciran telah menurun daripada 0.10 peratus pada tahun 2020 kepada 0.06 peratus pada 2024.
Manakala di peringkat menengah, kadar tersebut turut merosot daripada 1.33 peratus pada tahun 2020 kepada 0.64 peratus pada tahun 2024.
“KPM menyedari bahawa terdapat sebahagian kumpulan murid perlu dibantu bagi mengelakkan mereka tercicir,” kata Wong.
"Sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan disediakan KPM terdiri daripada 13 jenis Bantuan Persekolahan Khusus dan lima jenis Bantuan Persekolahan Umum.
"Ini termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang telah diedarkan pada Januari lalu, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Pakaian Seragam,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang meminta KPM menyatakan pelan menangani isu keciciran pelajar, terutama di kawasan pedalaman dan golongan B40. di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Wong, KPM turut melaksanakan pelbagai mekanisme pengurusan dan pemantauan bagi memastikan tiada murid tercicir melalui Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI), serta Buku Penulisan Kajian Kes Murid Berisiko Cicir dan Murid Cicir.
Comments