top of page
nabalunews

Trend pasangan "childfree" membimbangkan, kerajaan perkenal pelbagai inisiatif galak zuriat


21 November 2024


KUALA LUMPUR: Trend pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak mempunyai anak atau "childfree" semakin membimbangkan kerana berpotensi mempercepatkan proses penuaan penduduk negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.


Beliau menegaskan bahawa walaupun keputusan ini adalah hak peribadi pasangan, kerajaan sentiasa menggalakkan pasangan berkahwin untuk memiliki anak melalui pelbagai intervensi dan bantuan.


Jelas beliau, kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif, seperti subsidi yuran pengasuhan taska sebanyak RM180 seorang untuk anak berumur empat tahun ke bawah kepada penjawat awam yang layak.


Selain itu, had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah dinaikkan kepada RM7,000 untuk subsidi ini.


Bagi pasangan yang menghadapi masalah kesuburan, rawatan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya mencatatkan 6,150 kehamilan setakat Oktober 2024.


Kerajaan turut menawarkan pengecualian cukai sehingga RM10,000 untuk rawatan kesuburan dan membenarkan pengeluaran caruman KWSP (Akaun 2) untuk rawatan kesuburan sejak September 2020.


"Pada 2025, LPPKN akan memperkenalkan program i-KASIH, yang menawarkan subsidi untuk rawatan Permanian Beradas (IUI) kepada 1,300 pasangan berpendapatan kurang RM10,000.


Menurut Dr Noraini, alasan pasangan memilih "childfree" termasuk kos sara hidup, komitmen kerjaya, dan keinginan untuk mengekalkan kebebasan peribadi. Namun, kerajaan terus memperkenalkan inisiatif untuk meringankan beban kewangan pasangan berkahwin.


Beliau menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail berhubung pendekatan kerajaan untuk meningkatkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) berikutan kadar kesuburan negara menurun ekoran trend pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak atau childfree.

Comments


bottom of page