top of page
  • nabalunews

Tuan rumah bersama Sukan SEA, penghormatan kepada wilayah Sabah - Dr Peter


5 September 2024


KOTA KINABALU : Peluang untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA adalah satu penghormatan besar untuk wilayah Sabah.


Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dr Peter Jr Naintin berkata, ini menunjukkan kepercayaan dan pengiktirafan terhadap keupayaan wilayah Sabah untuk menganjurkan acara sukan yang besar dan berprestij, setanding dengan negeri-negeri lain.


Katanya jika kerajaan Sabah bersetuju dengan cadangan ini, Sukan SEA akan menjadi platform terbaik untuk mempromosikan Sabah kepada negara-negara jiran di Asia Tenggara.


Sabah boleh menonjolkan kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi dan pelbagai produk tempatan kepada dunia.


Dr Peter berkata Sukan SEA dijangka membawa lonjakan dalam sektor perkhidmatan, terutama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.


Permintaan untuk penginapan, sama ada hotel atau homestay, akan meningkat mendadak dengan kedatangan pelawat dari dalam dan luar negara.


"Para peniaga dan usahawan tempatan akan mendapat manfaat besar daripada acara ini. Mereka boleh menarik pelancong untuk membeli produk dan perkhidmatan tempatan seperti makanan, produk etnik, pakaian dan lain-lain. Ini akan merangsang ekonomi setempat dengan ketara," katanya.


Menurut beliau industri pelancongan di Sabah juga akan mendapat manfaat besar melalui acara Sukan SEA ini.


"Peningkatan dalam aktiviti pelancongan akan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dengan membawa pendapatan tambahan kepada wilayah Sabah," katanya.


Dr Peter menambah dengan menjadi tuan rumah bersama juga, kemudahan sukan di wilayah Sabah juga akan mendapat perhatian sewajarnya.


Katanya jika kemudahan sukan di Sabah *dibaik* pulih beserta dengan penambahbaikan infrastruktur sukan yang sedia ada, ini seterusnya akan memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi bidang sukan dan berusaha menjadi atlet yang berjaya.


"Kemudahan sukan di wilayah Sabah juga akan mendapat perhatian sewajarnya dan dapat dibaikpulih dan dipertingkatkan. Ini akan memberikan semangat baru dan lebih ramai anak muda akan teruja untuk menjadi ahli sukan yang berjaya untuk Malaysia," katanya.


Dr Peter berkata Sabah telah melahirkan ramai atlet muda yang berbakat dan berjaya.


Contohnya, Yee Xin Ying baru-baru ini mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas dalam acara skuasy wanita di SUKMA Sarawak ke-21. Ini menunjukkan potensi besar dalam kalangan anak muda Sabah dalam sukan.


Beliau berkata pelaburan RM100 juta oleh kerajaan Sabah untuk menjadi tuan rumah bersama merupakan satu keputusan yang bijak. Dana ini bukan sahaja akan membantu dalam penganjuran acara tersebut tetapi juga membolehkan lebih banyak peruntukan diberikan untuk pembangunan infrastruktur di Sabah melalui Kerajaan Madani.


"Dari segi pulangan kepada ekonomi bagi wilayah Sabah, sokongan peruntukan RM100 juta daripada kerajaan Sabah untuk menjadi tuan rumah bersama merupakan satu pelaburan yang cukup baik.


"Ini secara langsung dan tidak langsung akan membolehkan lebih banyak peruntukan disediakan oleh Kerajaan Madani untuk membantu *mempertingkat* dan memperbaiki infrastruktur di wilayah Sabah," katanya.


Dr Peter berharap agar Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan dan kerajaan Sabah dapat bekerjasama dengan baik untuk memajukan bidang sukan dan seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara, terutama di Sabah.


"Harapan kami agar Kementerian Belia & Sukan Persekutuan dan kerajaan Sabah dapat menjalinkan kerjasama yang baik dan berhemah dalam mempertingkatkan sukan dan ekonomi negara," katanya.


Sehubungan itu Dr. Peter menyokong penuh cadangan menjadikan Sabah sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA kerana terdapat banyak peluang dan manfaat yang boleh diraih oleh wilayah Sabah.


Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Sabah membuat keputusan untuk menimbang semula cadangan untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.


Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri Sabah pada mesyuarat Kabinet, semalam.


Katanya, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu memutuskan perkara berkenaan selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek.


"Cadangan awal untuk Sabah menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027 masih memerlukan persetujuan Jemaah Menteri.


"Semalam, kami bersetuju bahawa Sabah akan meneliti dan menimbang semula cadangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan untuk mendapatkan perincian mengenai cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.


"Saya akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo secepat mungkin untuk membincang dan menjelaskan perkara ini secara terperinci.


"Hasil perbincangan dan maklumat terperinci berkaitan penganjuran sukan itu akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri Sabah," katanya.


Meskipun begitu, katanya kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan temasya sukan serantau itu.


Katanya, Sabah tetap memberikan sokongan penuh dan bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.


Semalam, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran bersama Sukan SEA 2027.


Beliau juga menyatakan bahawa Kerajaan Sabah belum bersedia menjadi penganjur bersama temasya sukan berkenaan berikutan masalah kemudahan sukan.


Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan bahawa Malaysia menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA 2027, dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi hos bersama Kuala Lumpur.


Katanya, kos keseluruhan penganjuran sukan itu dianggarkan mencecah RM700 juta berdasarkan kos Sukan SEA 2017, dengan kerajaan Sarawak bersetuju menampung 50 peratus iaitu lebih RM300 juta, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang pula RM150 juta.

Comentarios


bottom of page