top of page
nabalunews

Tubuhkan Majlis Persekutuan-Negeri untuk realisasikan “Keluarga Malaysia”



23 Ogos 2021


Saya mengalu-alukan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung pendekatan "Keluarga Malaysia" dalam memimpin negara tanpa membelakangi mana-mana suku kaum dan agama.


Saya juga menyambut baik pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri yang mengulangi semula pelawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjemput parti pembangkang agar sama-sama menyertai dan menjayakan Majlis Pemulihan Nasional (MPN), dan juga Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.


Walau bagaimanapun, saya ingin menyeru agar Majlis Pesekutuan-Negeri (FSC) mengenai Pemulihan Ekonomi dan Kesihatan dapat dipertimbangkan untuk dilaksana berbanding cadangan MPN.


FSC ini akan dipengerusikan Perdana Menteri sendiri bersama Ketua Blok Pembangkang, dengan keahlian yang saksama antara Menteri-menteri Kanan Kerajaan dan Ahli-ahli Parlimen senior pembangkang.


Ia juga perlu dianggotai oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri dari semua 13 negeri, yang kemudiannya dibantu oleh tenaga pakar dan profesional dalam kalangan perkhidmatan awam dan masyarakat termasuk pihak tentera dan polis.


FSC dapat berfungsi seperti ‘war kabinet’ yang membuat keputusan besar mengenai ekonomi dan kesihatan, sementara Kabinet sebenar pula berfungsi sebagi menguruskan pelaksanaan terhadap keputusan yang telah diambil selain mengurus isu-isu lain yang dihadapi.


Pendekatan ini sudah pasti boleh membawa kepada pembentukan dasar yang lebih baik dan menjadi medan perkongsian tanggungjawab politik dalam kalangan parti pembangkang dan kerajaan, khususnya dalam membuat keputusan yang tidak popular tetapi perlu untuk diambil.


Ia bukan sahaja boleh melindungi parti kerajaan daripada kepincangan, tetapi dalam masa yang sama ia tidak memberi komplikasi terhadap amalan pemerintahan perpaduan.


Saya berterima kasih terhadap keputusan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memasukkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam MPN. Namun bagi saya, 11 negeri lain juga harus dimasukkan dalam pembuatan sebarang keputusan.


Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri, seluruh Malaysia adalah satu keluarga. Jadi, kita memerlukan semua kerajaan negeri dilibatsama. Sekiranya negeri-negeri lain dikecualikan, ia akan menghalang kepada keberkesanan usaha memerangi Covid-19 di negeri berkenaan.


Dan harus diingat, kes baru yang dicatatkan di setiap negeri ini juga menambah kepada jumlah kes keseluruhan di negara ini. Ia menyebabkan lebih banyak sumber akhirnya akan disalurkan kepada negeri yang terlibat, sekali gus memberi kesan sokongan kesihatan di negeri lain.


Salah satu faktor utama ini berlaku adalah Federalisme Malaysia yang pada ketika ini tidak dinafikan sememangnya terlalu berpusat. Justeru, seperti yang saya nyatakan tadi, desentralisasi adalah sangat diperlukan, yakni seluruh Kerajaan Negeri perlu dilibat sama dalam menentukan sebarang keputusan di peringkat persekutuan (peraturan bersama), selain diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam pentadbiran kerajaan negeri (pemerintahan sendiri).


Keluarga Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Ismail Sabri harus merangkumi desentralisasi, yang mana Kerajaan Negeri akan berperanan seperti seorang anak dewasa yang bebas menyuarakan banyak pendapat bagi sama-sama membela nasib dan menentukan hala tuju seluruh keluarga. Ini akan mengeratkan lagi hubungan antara adik-beradik, antara mereka dengan ibu bapa, serta meningkatkan lagi integrasi nasional.


Sekian.


Wilfred Madius Tangau

Presiden UPKO

Kommentare


bottom of page