top of page

Tubuhkan unit khas pantau projek Rancangan Malaysia di Sabah – Ewon

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read


14 April 2025


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Kerajaan Sabah menubuhkan satu unit khas bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia di negeri ini.


Beliau berkata, unit khas itu perlu ditubuhkan untuk menangani pelbagai isu teknikal dan pentadbiran yang sering menjadi punca kelewatan pelaksanaan projek pembangunan.


“Walaupun Majlis Tindakan Pembangunan Negeri telah ditubuhkan bagi tujuan pemantauan, saya percaya harus ada satu unit yang benar-benar turun ke lapangan dan menangani isu seperti pertembungan antara jabatan dan agensi, masalah pengambilan tanah, pampasan serta kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Ewon berkata Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) akan dibentangkan di Parlimen sekitar Julai tahun ini dan berkeyakinan Kerajaan Sabah telah mengemukakan senarai keutamaan projek-projek pembangunan kepada Kerajaan Persekutuan.

 

“Pun begitu, kita semua harus mengambil ikhtibar perancangan Rancangan-Rancangan Malaysia sebelum ini yang masih banyak berlaku kelewatan pelaksanaan projek atas banyak faktor.


“Saya mengalu-alukan inisiatif Kerajaan mengujudkan perjawatan tambahan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah iaitu antara cadangan intervensi bagi mempercepatkan pelaksanaan dan pemantauan projek Rancangan Malaysia susulan keputusan melantik JKR Sabah melaksanakan projek-projek biayaan Kerajaan Persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah pada tahun 2023,” katanya.


Mengenai keusahawanan dan pembangunan koperasi di negeri ini, Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebanyak 53,398 usahawan dan koperasi di Sabah menerima bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM813.4 juta sepanjang tahun 2024.


Beliau berkata, di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang diperkenalkan oleh kementeriannya, tumpuan khusus akan terus diberikan kepada pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak.


“Kajian separuh penggal Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang akan dilaksanakan tahun ini juga akan mengambil kira keperluan pembangunan keusahawanan di Sabah, termasuk pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan makanan, dan sektor berimpak tinggi,” katanya.


Beliau turut menggesa supaya Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah terus diperkasa, serta mencadangkan pembinaan makmal ujian halal bagi mempercepatkan proses pensijilan produk halal tempatan.


Ewon turut menekankan keperluan untuk memperluaskan capaian internet ke seluruh pelusuk negeri bagi menyokong trend usahawan tempatan yang menggunakan platform media sosial untuk memasarkan produk mereka secara langsung.


“Selepas pelancaran Live Hub TikTok Shop TEKUN di Sabah, kita lihat peningkatan ketara dalam jualan produk usahawan. Namun, isu kos penghantaran kargo ke luar Sabah masih menjadi cabaran besar dan memerlukan perhatian kerajaan,”.


Beliau berharap satu pendekatan menyeluruh dapat dirumuskan bagi menangani isu tersebut agar usahawan Sabah tidak ketinggalan dalam ekonomi digital yang kian berkembang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page