top of page

Tujuh prospek PBSL dilepaskan

nabalunews

Vivian (tengah), Khalid (ketiga kanan) dan yang lain menggaul "Yee Sang" pada majlis itu.

24 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Seramai tujuh prospek penjara Sandakan dilepaskan menerusi Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, hari ini.


Program "Kepulangan Yang Dinanti" Sempena Tahun Baru Cina 2025, itu diadakan di Dewan Mini Pangsapuri Taman Wira, Kuaters Penjara Sandakan.


Antara pengisian termasuk acara tradisi "Yee Sang" dan persembahan tarian singa serta nyanyian oleh prospek Penjara Sandakan.


Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, peluang yang diberikan kepada prospek itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


Katanya, mereka digalakkan untuk berbakti kepada keluarga selain masyarakat juga perlu menerima mereka semula dalam komuniti setempat.


“PBSL merupakan satu inisiatif murni yang mencerminkan usaha berterusan kerajaan dengan memberikan peluang kedua kepada pesalah yang telah menjalani hukuman dan program pemulihan.


“Penghargaan juga diberikan atas usaha pihak Penjara Sandakan yang terus memberikan didikan berkaitan kepada prospek ,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.


Yang turut hadir, Pengarah Penjara Sandakan, Muhammad Khalid Muhammad, Timbalan Pengarah Penjara Sandakan, Alif Akmal Che Hashim dan Pegawai Parol Daerah Sandakan, Nestor James.


Vivian berkata, setiap prospek digalakkan agar menyumbang khidmat kepada masyarakat selepas terpilih dalam program PBSL.


Sementara itu, Khalid ketika ditemui berkata, prospek yang dibebaskan menerusi PBSL itu diharap akan mengambil peluang yang diberikan dengan sebaiknya.


Katanya, mereka seharusnya menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran yang mendewasakan.


“Apa yang lebih penting, mereka perlu terus berbakti kepada keluarga serta komuniti dengan sebaiknya selepas ini,”katanya.

Comments


bottom of page