top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tuntutan Sulu: Kerjasama erat semua pihak hasilkan kemenangan Sabah - Arthur Kurup


30 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerjasama erat dan usaha gigih semua pihak berjaya menghasilkan keputusan yang amat bermakna buat rakyat Sabah dalam menangkis tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.


Demikian yang ditekankan oleh Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup dalam kenyataannya baru-baru ini.


"Saya percaya perjuangan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah bukan perkara yang mudah namun dengan kesepakatan, kerjasama erat dan usaha gigih semua pihak, kita berjaya menghasilkan keputusan yang amat bermakna buat rakyat Sabah," katanya.


Arthur juga menyoroti pentingnya keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda yang menolak permohonan kumpulan Sulu sebagai titik tolak yang penting dalam perjuangan menolak tuntutan mereka.


“Tiada negara berdaulat yang harus terperangkap dengan penyalahgunaan institusi atau proses timbang tara sebagaimana dilakukan oleh lapan individu dalam kumpulan Sulu di beberapa negara Eropah,” ujarnya.


Menurut Arthur, keputusan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tuntutan kumpulan Sulu adalah tidak berasas serta berniat jahat terhadap Sabah dan Malaysia.


Beliau juga menekankan kesungguhan kerajaan, terutama melalui Sekretariat Khas Sulu, yang perlu diberi sokongan oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, kerana ini melibatkan kedaulatan negara.


Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda, diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Comments


bottom of page