Tuntutan Sulu: Sabah sambut baik Keputusan Mahkamah Perancis
8 November 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tertinggi Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak lagi wujud, berkaitan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata beliau amat puas hati dengan keputusan mahkamah itu dan turut mengalu-alukan berita gembira yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui akaun media sosialnya.
Dalam satu kenyataan, di sini, hari ini, Hajiji mengulangi pendirian tegas kerajaan negeri yang tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadapn Sabah yang dilakukan mana-mana pihak luar.
“Kerajaan negeri sekali lagi menegaskan bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah kerana kita adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azalina atas usaha untuk membatalkan anugerah akhir oleh penimbang tara Sepanyol.
Azalina dalam hantaran beliau menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan bersejarah dan signifikan kepada negara.
Комментарии