top of page
nabalunews

Ucapan Dr. Jeffrey bukan unsur hasutan: Nizam




11 Disember 2024


KOTA KINABALU: Tiada sebarang unsur hasutan dalam ucapan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan semasa merasmikan Pelancaran Jentera Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini.


Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sebaliknya ucapan itu adalah pemberi semangat mengenai misi dan visi perjuangan parti dengan menekankan prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ yang menyeru pemuda untuk mempertahankan hak mereka dan berhati-hati dengan musuh dalam selimut yang cuba merampasnya.


Sehubungan itu beliau mempersoalkan mengapa Ketua UMNO Sabah terkesan dengan ucapan Dr Jeffrey itu.


“Mengapa Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar terkesan dengan ucapan ini? Adakah beliau mengakui bahawa UMNO adalah musuh dalam selimut untuk kerajaan Sabah?.


“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, adalah tidak wajar bagi Bung menyerang Dr. Jeffrey secara peribadi dengan mengungkit perjalanan politiknya yang penuh liku,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.


Menurutnya, sebagai pemimpin yang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan GRS serta menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan atas sokongan ahli GRS, Bung sepatutnya menyokong prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.


Namun, katanya, Bung masih sukar menerima hakikat bahawa era Barisan Nasional (BN) sudah berlalu. Kini adalah era GRS, dengan misi dan perjuangan rakyat Sabah yang dipacu oleh Pelan Sabah Maju Jaya, katanya.


“Bung juga harus sedar bahawa rakyat Sabah kini semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka.


“Serangan beliau hanya menonjolkan keresahannya dan UMNO terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan,” katanya.


Nizam berkata, Dr. Jeffrey berhujah berasaskan fakta, bukan retorik politik.


"Bung, sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, pastinya sedar kawasan itu masih mundur dan daif.


“Lebih mengejutkan, Bung memberikan kepercayaan kepada rakaman video yang meragukan dan jelas memiliki motif politik.


“Adakah Bung sebahagian daripada komplot ini sehingga bertindak menjadi pendakwa dan hakim sekali gus,” katanya.


Mengulas lanjut, Nizam berkata sebagai pemimpin, Bung seharusnya lebih bijak memahami bahawa mana-mana rakaman video, audio, atau gambar yang telah disunting, tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.


“Saya berpendapat adalah lebih baik beliau sendiri fokus dengan tuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini.


“Justeru, nasihat saya kepada Bung Moktar adalah supaya tidak menjaga tepi kain orang, fokus pada isu sebenar, dan patuh pada undang-undang negara tanpa membuat tuduhan melulu,” katanya.

Comments


bottom of page