top of page
  • nabalunews

UKM, Chempartner Bekerjasama Revolusi Sains Perubatan Moden di Malaysia

13 September 2024


SHANGHAI: Perkongsian strategik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan syarikat farmaseutikal China ChemPartner Pharmatech Co. Ltd dijangka membantu mewujudkan hab perubatan dan penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia yang menumpukan kepada penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan produk perubatan dan inovatif bioteknologi kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.


Katanya inisiatif ini, akan membuka lembaran baharu dalam meningkatkan keupayaan UKM dalam bidang kesihatan dan sains perubatan sekaligus membawa revolusi dalam sains perubatan moden di Malaysia.


“Perkongsian strategik ini menandakan era baharu kerjasama dan kemajuan. Dengan melabur dalam makmal tercanggih di Universiti UKM, ChemPartner menyumbang kepada usaha berterusan Malaysia untuk memajukan pembangunan dan inovasi ubat baharu.


“Malaysia kaya dengan herba…kerja sama ini bertujuan untuk memodenkan herba tradisional ini dan memperkenalkannya ke pasaran global, di samping membantu Malaysia dalam mengenal pasti ubat-ubatan Cina yang berkos efektif,” katanya seperti dilaporkan Bernama dalam ucapan khasnya semasa majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di kilang ChemPartners, di sini.


Ahmad Zahid kemudiannya menyaksikan MoA antara UKM dengan ChemPartner Pharmatech Co. Ltd (ChemPartners) dan sebuah syarikat Malaysia Pharma Medical Sdn Bhd.


MoA itu dimeterai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani, Pengerusi ChemPartners Woo Swee Lian dan pengasas Pharma Medical Datuk Eric Yong Chong Long JP.


Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang media berkata beliau berharap kerjasama itu juga membantu negara mewujudkan sebuah hab farmaseutikal, yang mengeluarkan ubat-ubatan yang mendapat pensijilan halal pertama di Malaysia seterusnya menjadi pilihan dalam pasaran tempatan dan global.


Sementara itu, UKM dalam kenyataan memaklumkan perkongsian ilmu, kepakaran dan juga teknologi antarabangsa itu, dilihat sebagai suatu inisiatif penting yang wajar dilaksanakan secara berterusan.


Menurut kenyataan itu dengan menggabungkan kemampuan ketiga-tiga entiti, usaha itu berupaya memperkukuh kedudukan serta keupayaan masing-masing dalam bidang perubatan, farmaseutikal serta bioteknologi.


“Kerjasama ini bakal menjurus ke arah pembangunan fasiliti ilmu perubatan tercanggih di Malaysia, yang memfokuskan kepada keberhasilan penyelidikan dan pengkomersilan inovasi perubatan dan bioteknologi.


“Gabungan kekuatan ilmu perubatan tradisi China yang mempunyai sejarah lebih 5,000 tahun dengan kekayaan pengetahuan herba di Malaysia, menghasilkan ruang penerokaan ilmu baharu yang bakal melonjakkan nama UKM sebagai peneraju sektor pendidikan yang berteraskan kesihatan di persada tempatan dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Comments


bottom of page