top of page

Ulu Kadamaian Trail Run Vol. 4: Serlahkan Budaya Sihat dan Alam Semula Jadi di Kota Belud

  • nabalunews
  • 11 hours ago
  • 2 min read

27 April 2025


KOTA BELUD: Ulu Kadamaian Trail Run Vol. 4 berjaya menghimpunkan seramai 285 peserta dari pelbagai latar belakang.


Acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Kiau ini terus memperkukuhkan reputasinya sebagai platform memperkasa gaya hidup sihat dan menghargai khazanah alam semula jadi


Pelepasan rasmi dilakukan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Juin Kolod, diiringi oleh Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran di perkarangan Tamu Desa Kampung Kiau Kota Belud.

Acara yang sinonim dengan kecergasan dan pemeliharaan alam sekitar ini mempertandingkan empat kategori utama bagi jarak 21 kilometer, iaitu Lelaki Terbuka, Lelaki Veteran, Perempuan Terbuka dan Perempuan Veteran. Manakala bagi jarak 9 kilometer, kategori yang dipertandingkan adalah sama mengikut jantina dan status umur.


Pengerusi Penganjur, Alexander Saibun, menjelaskan bahawa penganjuran Ulu Kadamaian Trail Run Vol. 4 bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah turut menanam nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan belia melalui pengurusan acara yang sistematik.


Beliau menegaskan matlamat utama program ini adalah meraikan gaya hidup sihat, menjaga kelestarian alam sekitar serta merancakkan lagi sektor pelancongan dalam konteks sukan dan kecergasan.


Program ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan komuniti, memperkenalkan keindahan alam semula jadi Kadamaian serta mempromosikan Kampung Kiau sebagai Geo-Tapak Budaya yang unik di daerah Kota Belud.


Selain itu, penganjuran ini memberi peluang kepada usahawan tempatan meningkatkan ekonomi melalui penjualan produk-produk pelancongan dan hasil tempatan sepanjang acara berlangsung.


Para peserta bukan sahaja diuji dari segi kekuatan fizikal, malah turut menikmati pemandangan memukau sepanjang laluan, yang merangkumi keindahan hutan, sungai dan perkampungan tradisional. Ini sekaligus memperkenalkan Kota Belud sebagai salah satu destinasi pelancongan ekopelancongan utama di Sabah.


Dengan semangat kesukanan yang tinggi, Ulu Kadamaian Trail Run Vol. 4 membuktikan bahawa sukan bukan hanya tentang kemenangan, tetapi juga tentang membina komuniti yang lebih sihat, bersatu dan menghargai warisan alam semula jadi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page