top of page
Wartawan Nabalu News

Umat Kristian Katolik akhirnya dapat raikan Hari Minggu Palma di gereja setelah dua tahun


10 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Penantian umat Katolik Kristian untuk menyambut perayaan suci Hari Minggu Palma di gereja berakhir pada hari ini setelah dua tahun meraikan perayaan suci ini di rumah berikutan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dilaksanakan.


Menurut tinjauan Nabalu News, umat Kristian berpusu-pusu ke gereja St Augustine Kinarut seawal jam 7 pagi memandangkan Kerajaan Negeri telah membenarkan rumah ibadat bukan Islam untuk beroperasi bergantung kepada kapasiti bangunan dengan penjarakan fizikal satu meter.


Setengah jam sebelum misa kudus bermula, semua tempat duduk di dalam gereja sudah dipenuhi dan umat yang tiba selepas itu mengambil tempat di kerusi-kerusi plastik yang disediakan di luar bangunan gereja.

Walaupun sudah memasuki fasa endemik, umat-umat yang membawa daun palma masing-masing untuk upacara itu dilihat masih mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan mengimbas kod MySejahtera.


Ketika ditemui, Doreen Koh, salah seorang hadirin berkata, dia bersyukur kerana dapat merasai suasana Minggu Palma di gereja pada tahun ini.


“Sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk merayakan upacara Minggu Palma di gereja pada tahun ini kerana selama dua tahun, saya dan keluarga hanya mampu mengikuti misa kudus bulan Lent (puasa) secara maya sahaja.

“Suasana misa kudus sangat berbeza jika dibandingkan di gereja dan rumah. Di gereja, kita dapat melihat saudara seiman yang lain dan ini membuatkan saya berasa syukur,” katanya.


Tambah ibu yang berumur 59 tahun ini, dia berharap agar pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dapat memberi semua umat Kristian satu kesedaran untuk lebih beribadah.


“Gunalah peluang ke gereja selagi diberi keizinan,” ujarnya.

Pada 6 April, jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun mengumumkan aktiviti keagamaan seperti pemberkatan, perkahwinan, pembaptisan, pengebumian, kelas agama dan aktiviti sosial bergantung kepada kapasiti bangunan dengan penjarakan fizikal satu meter.


Jelasnya, upacara sembahyang di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.


Sementara itu, ahli jawatankuasa pengurusan (AJKP) rumah ibadat juga harus mempamerkan notis perlunya umat membawa peralatan sembahyang sendiri.


Selain itu, mereka juga perlu melakukan kerja-kerja sanitasi 30 minit selepas selesai setiap sesi sembahyang.

Comentários


bottom of page