top of page

UMS Hadapi Gangguan Bekalan Air

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read


13 April 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan gangguan bekalan air yang melibatkan beberapa unit dan blok kolej kediaman di kampus induk pusat pendidikan berkenaan.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, gangguan itu berlaku susulan kadar kemasukan air ke Tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berada pada paras yang rendah, iaitu purata sekitar paras 1 daripada skala 10.


Katanya, penggunaan air pada kapasiti yang banyak serta insiden kecurian air di lokaliti berjiran kampus induk telah dikenalpasti oleh pihak JANS sebagai punca gangguan bekalan air yang melalui saluran paip ke tangki R13.


“Tangki R13 bukan saja membekalkan air kepada UMS, tetapi juga kepada beberapa bangunan dan kawasan luar kampus seperti Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).


“Selain itu, ia turut membekalkan air kepada Pejabat Persekutuan Putrajaya Cawangan Sabah, kawasan Alam Mesra, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas serta kawasan perumahan sekitar,” katanya.


Sementara itu, katanya, pihak universiti sedang mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi memastikan kebajikan dan keperluan asas pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh gangguan ini.


“Bermula jam 2 pagi tadi, tekanan air dari JANS ke Tangki R13 mula kembali pulih dan sebanyak 3 juta liter air telah berjaya dipam ke tangki tersebut.


“Ketika kenyataan ini dikeluarkan, bekalan air ke seluruh kampus telah bertambah baik setelah usaha-usaha pemotongan penyambungan paip secara tidak sah di sekitar perkampungan setinggan berdekatan kampus dilakukan.


“Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS akan terus menyelaras penyaluran air berdasarkan kadar bekalan semasa serta memanfaatkan sumber alternatif seperti tubewell,” katanya.


Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan universiti memohon agar seluruh warga kampus sentiasa peka dengan makluman semasa dan melaporkan sebarang isu berkaitan kepada pihak universiti.


Katanya, UMS turut bekerjasama rapat dengan JANS dan agensi berkaitan bagi mempercepat usaha pemulihan bekalan air secara menyeluruh.


“Pihak universiti amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pelajar serta warga kampus dalam menghadapi situasi ini.


“Pelajar disaran menggunakan air secara berhemah, menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengikuti makluman rasmi yang disalurkan melalui aplikasi mudah alih UMS, laman media sosial rasmi universiti, serta saluran komunikasi kolej masing-masing.


“Sebarang pertanyaan lanjut atau permohonan bantuan, pelajar boleh menghubungi Pejabat Kolej Kediaman di talian 088-320060,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page