top of page
nabalunews

UMS iktiraf bakat pelajar penyiaran, anjur Anugerah UMSfm



Pemenang Naib Johan Juruhebah Milenial Anugerah UMSfm, Nurul Sazswani Nesirul.

22 November 2024


KOTA KINABALU: Radio Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMSfm) menjadi radio kampus pertama di Malaysia menganjurkan majlis anugerah bagi menghargai dan mengiktiraf bakat pelajar penyiaran dan kewartawanan di universiti itu.

 

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Profesor Dr. Asmady Idris berkata perkembangan dan kemajuan UMSfm sebagai sebuah platform penyiaran bukan sekadar berperanan sebagai saluran komunikasi kampus, malah medium yang menyumbang kepada pembangunan kemahiran pengetahuan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

 

“Saya percaya bahawa radio kampus seperti UMSfm memainkan peranan penting dalam mempersiapkan pelajar dengan komunikasi yang kritikal (iaitu) satu aset yang sangat penting diperlukan dalam dunia profesional yang semakin kompetitif ini.

 

“Sebagai contoh, banyak universiti terkemuka luar negara seperti University of California, Berkeley dengan stesen radio mereka KALX, dan University of Southern California (USC) dengan KXSC Radio, telah menunjukkan bagaimana radio kampus boleh berfungsi sebagai platform untuk mengasah bakat dalam bidang penyiaran, produksi media, pengurusan acara dan banyak lagi.

 

“Mereka juga memberikan peluang yang luas kepada pelajar untuk menghubungkan diri dengan industri media sebenar, sekali gus membuka ruang untuk kerjaya yang lebih cerah di masa hadapan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah UMSfm yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, baru-baru ini.

 

Asmady berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UMS menghargai sumbangan radio kampus dalam mencipta ruang bagi pelajar untuk berinovasi dan berkarya dalam suasana yang menyokong.

 

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pelajar FSSK khususnya mereka yang terlibat dalam bidang penyiaran dan kewartawanan untuk terus mengasah kemahiran, baik di dalam mahupun di luar bilik kuliah.

 

“Sebagai sebahagian daripada Program Komunikasi di UMS, kita sangat berbangga kerana hampir 85 peratus graduan Program Komunikasi telah berjaya menempatkan diri dalam pelbagai bidang profesional yang relevan.

 

“Ini adalah bukti bahawa pendidikan yang diberikan termasuk pengalaman praktikal yang diperoleh melalui platform seperti UMSfm benar-benar membantu membekalkan pelajar dengan kemahiran yang diingini oleh industri,” ujarnya.

 

Sementara itu, Pengurus Stesen UMSfm, Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata penganjuran majlis anugerah tersebut adalah langkah berani untuk memperakukan dan menghargai produk keluaran UMSfm.

 

“Tindakan ini menjadikan UMSfm sebagai sebuah radio kampus pertama yang menganjurkan anugerah seumpama ini.

 

“Anugerah UMSfm ini menggabungkan kursus Penerbitan Radio 1 dan 2. Menerusi anugerah ini, kita menghargai bakat-bakat pelajar serta produk siaran yang dihasilkan oleh pelajar.

 

“Dari penerbitan rancangan ringan sehingga penerbitan rancangan berat, kita harapkan apa yang mereka pelajari dari kursus tersebut dan juga dari UMSfm dapat membantu mereka di masa hadapan,” katanya.

 

Mula bersiaran pada tahun 2010, UMSfm yang turut dikendalikan oleh Penerbit Rancangan iaitu Feria Lee, Norhazimah Radik dan Khairil Fitri Abd. Karim telah berjaya membangunkan sebuah modul radio secara rasmi yang dikenali sebagai Modul LIB dan telah menerima sijil Hak Cipta Terpelihara pada November 2024.

Comments


bottom of page