top of page
nabalunews

UMS sedia bantu pelajar Paitan urus pendaftaran kemasukan ke Universiti


9 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Professor Datuk Dr. Kasim Mansor memaklumkan, beliau telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan seorang pelajar dari Paitan yang mengalami kesulitan dan bebanan ekonomi bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.


Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyatakan UMS mengambil maklum laporan media tempatan berkaitan kesulitan yang dialami Crisnanalina Jumis, 20, yang berasal dari Kampung Dalamas, Paitan, yang menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran ke UMS.


Dr. Kasim dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.


“UMS amat prihatin terhadap isu kesukaran dari segi kewangan yang dialami oleh Crisnanalina, justeru kita akan pastikan beliau akan menerima bantuan secukupnya apabila mendaftar ke universiti ini nanti.


“Pihak Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga akan memastikan bantuan terhadap keperluan beliau apabila berada di kampus, selain membantu pelajar berkenaan membuat permohonan bantuan kewangan yang berkaitan,” katanya.


Mengulas lanjut, Kasim berkata Crisnanalina mahupun mana-mana pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran universiti, kerana pihak universiti telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.


“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.


“Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar khususnya juga bersedia membantu para pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya,” katanya.


Ujar Kasim, inisiatif yang dilaksanakan adalah usaha UMS dalam mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi.


Bagi sebarang maklumat berkaitan bantuan kebajikan boleh berhubung dengan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS di talian 088-320 060 atau emel bkkp@ums.edu.my

Comments


bottom of page