top of page
  • Wartawan Nabalu News

UMS terima bahan pameran sains bernilai RM1.5 juta


18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 30 unit bahan pameran interaktif yang menarik dan menambah ilmu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) telah diserahkan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) oleh Pusat Sains Negara (PSN).


Bahan pameran yang bernilai RM1.5 juta itu merangkumi tema astronomi, cabaran minda dan fizik yang bertujuan untuk meningkatkan minat rakyat Sabah terutama generasi muda terhadap bidang STI.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Kurup yang menyampaikan bahan pameran itu berkata, ia merupakan sebahagian daripada Program PSN Satelit yang akan berlangsung selama dua tahun di Pusat Sains UMS (U-Science).


Jelas beliau, dengan adanya bahan pameran ini, U-Science dan UMS akan menjadi destinasi tumpuan lawatan sambil belajar terutama dalam kalangan pelajar sekolah di Sabah bagi menyuburkan minat mereka terhadap bidang STI.


Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan U-Science akan menjadikan UMS antara peneraju pusat pembelajaran STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi) di Sabah.


"Kerajaan Persekutuan dan negeri juga dalam peringkat perbincangan mewujudkan PSN Sabah," katanya pada majlis penyerahan Mobile Thematic Exhibition (MTE) PSN kepada U-Science di UMS di sini.


“Sebagai langkah sementara, Progam PSN Satelit di U-Science ini diwujudkan bagi memastikan segenap lapisan masyarakat dapat memanfaatkan teknologi, produk dan perkhidmatan STI sekali gus meningkatkan minat anak-anak muda kita kepada bidang STEM," katanya.


Menurut beliau, bahan pameran yang disediakan oleh PSN mampu menguji kefahaman dan pemikiran kreatif seseorang dalam menyelesaikan masalah ringkas melalui teknik yang menarik.


"Pameran astronomi pula memberi peluang kepada pelawat merasai pengalaman penerokaan ruang angkasa lepas dengan mempelajari asas seperti fasa bulan, buruj, serta fenomena yang berlaku di alam semesta," katanya.


Beliau juga mengulas mengenai enrolmen rendah pelajar dalam aliran sains dan berkata sebab utama adalah minat pelajar yang cenderung terhadap bidang bukan berteraskan sains, selain menganggapnya sukar untuk difahami dan dikuasai, serta tidak berminat dengan bidang sains di sekolah.



Comments


bottom of page