top of page
nabalunews

UNDI 18 – KERAJAAN PN JANGAN RAMPAS HAK ANAK MUDA



14 Mac 2021


1. Hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihan raya yang diturunkan kepada umur 18 tahun adalah hadiah terbaik pentadbiran sebelum ini kepada anak muda. Kejayaan ini terakam pada 25 Julai 2019 selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, 10 hari selepas ianya diluluskan sebulat suara di dalam Dewan Rakyat. Namun, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dilihat berdolak dalik dengan undang-undang ini walaupun ianya telah diwartakan pada September 2019.



2. Tindakan Kerajaan PN hari ini memberi bayangan bahawa anak muda dianggap tidak penting kepada amalan sistem demokrasi dalam negara. Malah dengan perlaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik, ianya dapat memberi rangsangan kepada anak muda untuk turut sama menyumbang dalam membuat keputusan besar seperti pembentukan sesebuah kerajaan dan memilih kepimpinan negara. Kerajaan PN sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan 4.2 juta anak muda yang berumur 21 tahun dan ke atas yang dilaporkan layak mengundi, tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.


3. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyatakan dengan tegas mengenai perlaksanaan Undi 18 tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin politik. SPR perlu mengadakan lebih banyak libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk daripada parti politik pihak pembangkang dalam kerangka untuk menjayakan Undi 18 ini. Sebarang penangguhan dalam proses ini pastinya akan menjejaskan mood anak muda untuk turut sama terlibat dalam pemulihan sistem demokrasi dalam negara kita. Saya yakin dengan kematangan dan pertimbangan anak muda dalam membuat keputusan mereka di peti undi. Ia bukan persoalan memberikan kebebasan kepada mereka, ini adalah persoalan hak mereka yang telah dirampas dan wajar dikembalikan.


Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Ahli Parlimen Semporna

14 Mac 2021


Comentarios


bottom of page