Bekalan beras putih negara dijamin mencukupi walaupun jelapang padi terjejas – Mohamad Sabu
12 Oktober 2024
PONTIAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan beras putih dalam negara akan kekal mencukupi, meskipun kira-kira 6,000 hektar jelapang padi di Kedah dan Perlis terjejas akibat banjir bulan lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kejadian luar jangka itu tidak menjejaskan keterjaminan bekalan beras berikutan negara mempunyai perjanjian dan rundingan dengan beberapa negara lain.
“Bekalan beras tiada gangguan, tidak ada masalah, beras akan ada. Kita pun di KPKM melakukan usaha lain bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terganggu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Agro Pelancongan Kampung Parit Jerman, di sini.
Beliau menjelaskan bahawa Malaysia mengimport lebih 40 peratus bekalan beras daripada Thailand dan Vietnam, serta tambahan 200,000 tan lagi dari Pakistan dan India untuk menampung keperluan dalam negara.
“Sekiranya berlaku perkara tidak dijangka, kita masih ada perjanjian dan rundingan dengan negara lain,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa harga beras dijangka turun berikutan pengukuhan nilai mata wang negara yang memberi kesan kepada penurunan harga barangan import.
Mengenai kerugian pesawah akibat banjir, kerajaan menyediakan bantuan melalui tabung bencana tanaman padi bagi mengurangkan beban yang ditanggung pesawah, yang dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM40 juta.
Comentários