top of page

Upah sehingga RM3,000 setiap kilogram.

nabalunews

4 Mac 2025


KOTA KINABALU: Upah lumayan mencecah RM3,000 untuk setiap satu kilogram penghantaran syabu kepada pelanggan.


Itu nilai diterima seorang wanita dan lelaki warga emas yang bertindak sebagai transporter bagi sindiket pengedaran dadah.


Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang mengaku sudah menjalankan aktiviti berkenaan sejak tahun lalu berjaya ditahan polis, 27 Februari lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bertindak atas maklumat risikan, dua suspek wanita dan lelaki warga emas terbabit berjaya ditahan dalam operasi di kawasan Api-Api Centre.


Katanya, lelaki warga emas terbabit bertindak sebagai pemandu manakala suspek wanita pula sebagai penghantar dadah berkenaan kepada pembeli.


“Ketika ditahan, hasil pemeriksaan di dalam beg kertas yang dibawa suspek wanita terbabit menemui dadah jenis syabu seberat 1,048 gram.


“Ekoran daripada kejayaan tangkapan itu, membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 2,110 gram di sebuah rumah di Penampang dan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan seberat 3,158 gram,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.


Kasim berkata, siasatan mendapati, modus operandi sindiket adalah mengedar dadah dengan kuantiti banyak sebelum dijual dalam paket kecil sesuai dengan permintaan penagih di daerah Kota Kinabalu dan Penampang.


Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM101,000 berdasarkan harga pasaran semasa dan boleh digunakan oleh seramai 15,790 penagih.


“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek wanita positif dadah jenis ketamin, methaphetamine dan amphetamine.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan kedua-dua suspek ditahan reman bermula 27 Februari lalu untuk siasatan lanjut l.


“Pihak polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta Proton Satria, tiga cincin, tiga jam tangan dan wang tunai berjumlah RM1,066.


“Jumlah keseluruhan sitaan harta dan dadah dianggarkan bernilai RM427,109 dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,”’katanya.

Opmerkingen


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page