UPKO Bandau Prihatin, Hulur Bantuan kepada Mangsa Kebakaran di Kampung Terintidon
nabalunews

29 Mac 2025
KOTA MARUDU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat dengan meneruskan inisiatif pelayanan mereka melalui Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau. Semalam, delegasi CLC UPKO Bandau mengunjungi penduduk Kampung Terintidon yang ditimpa musibah kebakaran rumah.
Ketua CLC UPKO Bandau, Suzie Salapan, bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) CLC Bandau hadir dalam lawatan tersebut. Mereka turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada keluarga mangsa sebagai tanda sokongan moral dan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Menurut Suzie, kejadian kebakaran berlaku pada minggu lalu, mengakibatkan rumah mangsa musnah sepenuhnya. Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan tempat tinggal tetapi turut memberi kesan emosi kepada keluarga yang terlibat.

"Saya doakan semoga keluarga ini terus tabah dan dipermudahkan segala urusan dalam berhadapan dengan masalah ini," kata Suzie, yang berharap bantuan kecil yang diberikan dapat membantu meringankan penderitaan mereka.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada AJK UPKO Bandau yang turut serta dalam pelayanan ini, menunjukkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Kejadian seperti ini mengingatkan kita akan kepentingan solidariti dalam masyarakat, di mana setiap individu dan organisasi dapat memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan kepada mereka yang ditimpa musibah. Bagi UPKO Bandau berharap lebih ramai pihak tampil membantu mangsa agar mereka dapat bangkit kembali daripada ujian ini." Kata Suzie.
Commenti