UPKO bantu mangsa kebakaran di Tamparuli
4 November 2024
TAMPARULI: Empat keluarga di Kampung Kionsom Baru, Jalan Kiulu - Tamparuli menempuh dugaan berat apabila rumah pusaka yang didiami mereka sejak 40 tahun lalu, musnah dalam kebakaran pada 27 Oktober lalu, menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Prihatin dengan musibah yang menimpa keluarga berkenaan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini tampil menyampaikan bantuan untuk sedikit sebanyak meringankan beban mereka selain memberikan sokongan dan semangat agar keluarga ini bangkit semula dalam menempuh kehidupan seharian.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan (CLC) UPKO DUN Tamparuli, Jeffry Teo, bersama Lomiti Jahan, Pegawai Khas Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kebajikan di Pusat Khidmat Parlimen Tuaran, telah mewakili Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran.
Bantuan ini disampaikan kepada empat keluarga berkenaan, iaitu Ng Shu Nyen, Ng Su Yin, Larry Calvin Peter Ng, dan Lilian Ng Moi Len, yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi kebakaran di Kampung Kionsom Baru, Tamparuli itu.
Semoga keluarga ini diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini serta terus diberkati.
Comments