UPKO Cawangan Kampung Luminodip Adakan Mesyuarat Pertama Tahun Ini

22 Mac 2025
KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Kampung Luminodip Kota Belud telah mengadakan mesyuarat pertama tahun ini bertempat di kediaman Ketua Cawangan, Majuntin Latun.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Naib Saru UPKO Bahagian Kota Belud, Saikom Watis, dan Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran.
Dalam mesyuarat itu, Majuntin Latun menekankan kepentingan setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) memahami perkembangan semasa serta memberikan ruang kepada sesi soal jawab bagi membincangkan isu yang dihadapi oleh penduduk setempat. Antara yang dibincangkan termasuklah peranan UPKO dalam membantu masyarakat dan pelaksanaan inisiatif yang telah dirancang.
Saikom, dalam ucapannya, turut menjelaskan pelbagai bentuk bantuan yang telah disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. Bantuan tersebut melibatkan pelbagai aspek termasuk kebajikan masyarakat serta pembangunan infrastruktur di kawasan Kadamaian.
Menurut Saikom, Ewon telah banyak menyumbang kepada masyarakat Kadamaian melalui inisiatif seperti program touchpoint yang merangkumi bantuan kelahiran, kematian, dan bencana. Selain itu, sumbangan juga diberikan kepada institusi keagamaan seperti gereja, masjid, dan surau, serta sekolah rendah dan menengah.
Dari segi pembangunan, Saikom menegaskan bahawa setiap kampung dalam kawasan Kadamaian mendapat perhatian dengan projek infrastruktur yang dilaksanakan di 74 buah kampung. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk serta memastikan kemudahan asas mencukupi bagi semua lapisan masyarakat.
Mesyuarat ini menunjukkan komitmen UPKO dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memastikan setiap isu yang dihadapi mendapat perhatian sewajarnya.
Commentaires