top of page
Wartawan Nabalu News

UPKO gesa kerajaan pusat segerakan peruntukan, bantu rakyat terkesan banjir di Sabah


20 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua pemuda UPKO, Felix Joseph Saang mendesak Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan peruntukan bagi membantu masyarakat Sabah yang terkesan teruk akibat banjir.


Katanya, jika Kerajaan boleh segerakan bantuan Banjir di Kedah, ianya boleh dilakukan di Sabah.

“Ramai penduduk yang mengalami kerosakan dan kehilangan harta benda, tidak kurang juga mereka yang kehilangan rumah kediaman dan amat memerlukan perhatian dari pihak Kerajaan.


“Janji untuk membantu harus ditunaikan segera,” katanya dalam satu kenyaatan, hari ini.

Petang kelmarin, beberapa Exco Pemuda UPKO Pusat bersama dengan Ketua Pemuda UPKO Penampang mendengar keluhan-keluhan yang disampaikan mangsa yang terlibat.


“Pemuda turut menghulurkan sedikit bantuan kepada mereka yang terjejas. Semoga usaha murni Pemuda UPKO yang terlalu kecil ini sedikit mampu membantu ,” kata Felix.


Program kelmarin merupakan kesinambungan usaha-usaha murni UPKO Penampang yang telah dilaksanakan sejak dari awal bagi memberi bantuan dan sokongan kepada mangsa banjir.

Pada 16 Sept lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah menyampaikan peruntukan sebanyak RM18.24 juta kepada Sabah bagi tujuan pengurusan bencana termasuk Covid-19 di negeri ini.


Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan sebanyak RM78 juta kepada negeri Kedah bagi tujuan membaik pulih kawasan bencana di negeri itu.


Negeri Sabah telah dilanda bencana banjir sebanyak enam kali pada tahun ini, dan dua kali dalam tempoh sebulan baru-baru ini.


Difahamkan, lebih kurang 60 kawasan termasuk taman perumahan dan kampung di beberapa daerah terjejas akibat bencana ini.

Коментарі


bottom of page