UPKO hargai keputusan Kerajaan tidak teruskan cadangan garis panduan umat Islam hadiri acara bukan Islam
![Ewon ketika berucap pada majlis itu.](https://static.wixstatic.com/media/d65831_92628b4055db48c1b5dc0c1f85267be8~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_92628b4055db48c1b5dc0c1f85267be8~mv2.jpg)
8 Februari 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menghargai keputusan Kerajaan sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim tidak meneruskan cadangan garis panduan kepada umat Islam untuk menghadiri acara yang dianjurkan oleh penganut agama lain, khususnya di rumah ibadat bukan Islam.
Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick menyatakan keputusan Kerajaan tersebut menonjolkan semangat toleransi kepada kepelbagaian kaum dan agama serta menghormati kematangan penganut agama Islam di negara ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengesahkan mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan telah membincangkan isu yang timbul susulan laporan media yang menyebut mengenai cadangan pengujudan garis panduan tersebut.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_9900149b527b42d6bbed45f45269043b~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_9900149b527b42d6bbed45f45269043b~mv2.jpg)
“Perdana Menteri telah membuka ruang kepada ahli-ahli kabinet untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya di antara yang telah menyatakan pandangan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin.
“Susulan itu, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI iaitu tiada keperluan untuk meneruskan cadangan pengujudan garis panduan tersebut. Kerajaan menghormati kematangan umat Islam dalam menimbang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh penganut agama lain.
“Kerajaan MADANI juga mahu memperkasakan toleransi agama serta kebersamaan rakyat majmuk. Kerajaan juga mengalu-alukan dialog-dialog keharmonian terutamanya yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama di bawah Kementerian Perpaduan Negara bagi menggalakkan lebih banyak interaksi antara pemimpin dan penganut pelbagai agama supaya persefahaman dan sensitiviti agama dapat diperkasakan lagi.
“UPKO berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus komited memimpin negara majmuk ini berasaskan kepada prinsip toleransi dan kebersamaan rakyat.
“UPKO telah melaksanakan tanggungjawabnya menjadi sebahagian daripada keputusan Kerajaan kelmarin. Ini merupakan sumbangan UPKO kepada masa depan negara berasaskan kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Ewon menyatakan demikian semasa berucap di sambutan Tahun Baru Cina anjuran UPKO Bahagian Ranau di Kg Lasing, di sini, hari ini.
Ewon turut menyatakan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk terus membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi di Sabah melalui fokus tambahan di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang beliau sedang laksanakan.
“Di bawah inisiatif dasar ini, kita telah memulakan pelaksanaan projek premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus), skim pembiayaan usahawan tamu, bantuan khas koperasi pelancongan di bawah Program JEJAK Koperasi, pembangunan studio TEKUN TikTok Shop serta perluasan capaian perkhidmatan dan penganjuran pelbagai inisiatif baharu di Sabah dan Sarawak.
“Antara yang mendapat mendapat di bawah inisiatif dasar ini adalah usahawan dan koperasi di daerah Ranau termasuk dua premis Tamu Desa yang sudah disiapkan pada tahun lalu,” katanya.
Comentarios