top of page
  • nabalunews

UPKO kekalkan hubungan antarabangsa melalui Women In Politics (WIP) Asia

Para peserta

9 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Sumbangan golongan wanita dalam politik khususnya dalam konteks hubungan antarabangsa terus dimantapkan lagi menerusi penganjuran program Women In Politics Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Program ini dilaksanakan selama 8 bulan dan mendapat penajaan sepenuhnya dari Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia dan dikelolakan oleh badan khas Starlight Navigate serta Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (WENA) bagi pembangunan modal insan wanita yang bertujuan melahirkan barisan kepimpinan wanita yang berkaliber.


Sepanjang program selama 8 bulan ini, peserta perlu menghabiskan 12 modul sesi latihan menerusi aplikasi zoom meeting secara dalam talian, menyiapkan dan menyerahkan tugasan seperti risalah pengenalan tugasan digital dan video.


Tugasan ini bukan mudah. Daripada 55 peserta yang mendaftar, hanya 33 org peserta yang berjaya mendapat sijil professional.

Barisan mentor trainer

3 pemimpin mewakili Wanita UPKO Malaysia, Dr Nicole Wong On Ling dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Puan Fauziah Kudus dari DUN Telupid dan Puan Julia Moduli dari DUN Inanam berjaya mengikuti kursus secara konsisten selama 8 bulan seterusnya terpilih sebagai pelajar akhir Women In Politics Asia.


Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa UPKO Rowindy Lawrence dalam catatan di laman sosialnya berkata beliau amat berbangga dengan kecekalan 3 wanita dari Parti UPKO itu, Dr Nicole Wong, Puan Fauziah Kudus dan Puan Julia Moduli yang kesemuanya terpilih sebagai pelajar akhir untuk majlis graduasi ini.


"Semoga apa yang telah dipelajari akan dipraktikkan dari masa ke semasa," katanya.


Rowindy juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr Nicole kerana memenangi anugerah The Vanguard Award atas komitmen yang tinggi dan penuh serta sentiasa konsisten dalam setiap tugasan yang diberikan.

Rowindy hadir memberi sokongan

Rowindy turut merakamkan terima kasih kepada Women In Politics Asia kerana telah menjemput beliau sebagai seorang daripada mentor trainer dalam program ini.


Rowindy turut hadir ke Majlis Graduasi kumpulan pertama Women in Politics

tersebut di Hotel Royal Signature, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Bagi Fauziah, beliau amat bersyukur kerana dapat melepasi syarat program.


Katanya misinya selepas ini adalah untuk memperkasakan kepimpinan wanita di kawasan DUN Telupid khususnya UPKO Bahagian Beluran.


"Manfaat yang saya perolehi sangat besar dan menjadi titik sejarah indah dalam hidup saya apabila saya terinspirasi dengan pengembangan minda dan semangat untuk lebih mempraktikkan ilmu pengetahuan kelak," katanya.

Nicole, Julia , Fauziah (UPKO)

Fauziah berkata banyak ilmu yang dipelajarinya sepanjang 4 bulan mengikuti kursus itu seperti perkongsian strategi dan teknik daya pemikiran yang kritis, membina keyakinan diri dan kefahaman serta matlamat dan tanggungjawab menjadi seorang pemimpin khususnya bagi golongan wanita.


Bagi Julia, program ini bertepatan dengan inisiatif untuk memperkasakan penyertaan dan kepimpinan sama rata wanita dalam kehidupan politik dan awam untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030.


Lebih-lebih lagi data menunjukkan golongan wanita kurang diwakili di semua peringkat membuat keputusan di seluruh dunia.


Julia berpendapat inisiatif Women in Politics ini dapat merapatkan jurang kesaksamaan gender dalam politik di Malaysia.


"Saya banyak mempelajari ilmu pengetahuan berpolitik, bagaimana menjadi seorang pemimpin dan ahli politik yang baik. Saya juga mempelajari bagaimana untuk menimbulkan kesedaran di kalangan wanita untuk menyertai politik seterusnya menyumbang secara signifikan kepada negara ini," katanya.


Bagi Dr Nicole Wong On Ling yang telah dianugerahkan “THE VANGUARD AWARD” kerana menunjukkan komitmen penuh sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberikan secara konsisten, beliau amat bersyukur kerana berpeluang menyertai program yang amat berfaedah ini.


Dr Nicole berharap lebih ramai lagi ahli Wanita UPKO Malaysia akan tampil pada masa akan datang untuk menyertai program seperti ini.


"Saya perlu fokus dan konsisten dan membuat persediaan pengetahuan am mengenai siapakah pemimpin di negeri dan negara ini pada masa lalu dan sekarang.

Comments


bottom of page