UPKO kemuka usul pindaan lambang elak kekeliruan pengundi, ahli

27 Nov 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan usul pindaan imej lambang dan lencana di dalam perlembagaan parti bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan sesetengah pengundi dan ahli-ahli parti seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.
Usul tersebut dibentang semasa Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021 oleh Setiausaha Agung Nelson W. Angang dan dibahaskan oleh Ketua Bahagian Keninau Masuning Digang, Ketua Bahagian Papar Savarinus Manjibang, Ketua Bahagian Kota Belud Justin Dalansu, dan Ketua Bahagian Beluran Albenus Naim.
Persidangan itu diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.
UPKO menggunakan lambang dan bendera parti tersendiri buat pertama kalinya semasa PRN tahun lalu tanpa menumpang lambang mana-mana pihak, namun sesetengah pengundi dan ahli-ahli parti gagal mengenal pasti lambang UPKO selepas proses penjenamaan semula parti.
Namun, pandemik Covid-19 menghalang kepimpinan parti di semua peringkat untuk turun padang memberi penerangan lanjut khusus kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
“Kita juga menyedari bahawa lambang dan bendera adalah identiti Parti. Identiti ini mestilah mudah dikenali dan seterusnya diingati sepanjang masa,” kata Nelson ketika membentangkan usul itu.
Dalam usul tersebut, UPKO mencadangkan penukaran imej lambang dan bendera parti dalam bentuk yang sama seperti imej lencana yang terbentuk dari lima unsur.
“Satu imej Gunung Kinabalu yang berwarna biru tua; satu alunan imej putih di bawah imej Gunung Kinabalu; satu imej merah di latar depan; nama UPKO dalam huruf besar dan tebal berwarna putih; dan satu latar belakang berwarna putih.
“Imej Gunung Kinabalu melambangkan identiti serta kebanggaan, kestabilan, kepercayaan diri dan ketabahan rakyat. Latar belakang dan alunan berwarna putih melambangkan perjuangan yang penuh keikhlasan, berintegriti dan menjunjung ciriciri kebebasan, inklusiviti dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Imej berwarna merah melambangkan keberanian, kesungguhan, komitmen dan kekuatan di dalam mempertahankan hak-hak dan aspirasi rakyat serta mengorak langkah-langkah untuk mencapai cita-cita kehidupan.
“Perkataan ‘UPKO’ adalah nama parti dan ia mendokong ke arah mencapai sebuah masyarakat yang makmur, demokratik, progresif, bermaruah, sekular dan harmoni,” katanya.
Comments