top of page
Wartawan Nabalu News

UPKO kini parti komponen gabungan berbilang kaum Pakatan Harapan



26 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan ini membuat keputusan menerima Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) sebagai parti komponen Pakatan Harapan.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Saifuddin Nasution, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan hari ini, penyertaan UPKO akan dapat memperkukuh kerjasama parti-parti blok pembangkang menghadapi pilihanraya umum ke-15 (PRU15).


“Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, Pakatan Harapan akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan WARISAN, PEJUANG, UPKO, PSB, MUDA dan Bebas demi memastikan blok Pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.


“Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti Pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti,” katanya.


Saifuddin menyatakan bahawa Pakatan Harapan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti Pembangkang lain.


“UPKO telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan (dan) mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan,” katanya.


Pakatan Harapan merupakan gabungan parti berbilang kaum yang dianggotai oleh PKR, DAP dan AMANAH.


UPKO yang ditubuhkan semula pada tahun 1994 merupakan parti berasaskan masyarakat kaum Kadazandusun Murut sebelum direformasikan menjadi parti berbilang kaum menerusi resolusi kongres parti tersebut pada tahun 2019.

Comments


bottom of page