top of page
nabalunews

UPKO Kota Marudu galas tanggungjawab sosial melalui Program We Care Marudu




16 Januari 2025


KOTA MARUDU: Program kebajikan We Care Marudu terus memperlihatkan usaha prihatin dan komitmen Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu dalam membantu masyarakat setempat.


Pada 13 Januari lalu, Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin, bersama beberapa pemimpin lain, turun padang menyerahkan kerusi roda kepada seorang warga emas, Janiah Aphli, di Kampung Tanjung Batu, Kota Marudu.


Menurut Jamil, pemberian ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat (YBR). Kerjasama ini bertujuan menyelaraskan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak dan memerlukan.


Turut serta dalam program termasuk Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Matlunad Agok, Ketua Wanita UPKO, Norisah Mongintal, dan Naib Ketua II UPKO Kota Marudu, Badurun Tamam, yang juga berperanan sebagai penyelaras program.


Kolaborasi strategik antara UPKO dan YBR menunjukkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.


"Kami percaya program seperti ini bukan sahaja mampu meringankan beban golongan memerlukan tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dalam komuniti," kata Jamil.


Beliau turut menambah bahawa program kebajikan seperti ini akan terus diperluaskan bagi memastikan lebih ramai mendapat manfaat.


"Kami akan terus mendekati rakyat, mendengar permasalahan mereka, dan bertindak mengikut kemampuan untuk membantu," jelas beliau.

Comments


bottom of page