UPKO Kudat dekati rakyat akar umbi di Program Bersama Rakyat di Mandamai Bai Pitas
20 Disember 2024
KUDAT : Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kudat meneruskan usaha mendekati rakyat melalui Program Bersama Rakyat yang berlangsung pada 18 Disember lalu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mandamai Bai, Pitas.
Program ini bertujuan untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat dan memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap perjuangan parti di peringkat akar umbi.
Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing berkata pengisian program ini termasuk penyampaian bantuan asas seperti beras kepada penduduk setempat.
Di majlis ini, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada sembilan gereja di PDM Mandamai dan PDM Dandun, sebagai inisiatif untuk mendukung komuniti pelbagai kaum dan agama di kawasan itu.
Junsim turut menerima borang keahlian baharu daripada penduduk Kampung Pandan dan Kampung Dandun yang mencerminkan peningkatan sokongan rakyat di akar umbi terhadap perjuangan UPKO.
Junsim menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap parti bukanlah bersandarkan kepada janji politik semata-mata, tetapi turut berpaksi kepada kerja keras kepimpinan parti dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, atas misi dan visi parti yang lebih memfokuskan kepada rakyat.
Junsim yakin pendekatan ini membolehkan UPKO terus berkembang sebagai parti pilihan di kawasan Kudat.
Program yang dihadiri lebih 50 orang ini turut menonjolkan peranan aktif pemimpin tempatan.
Pengerusi penganjur, Daniel Mosikul yang juga Ketua PDM Mandamai, dipuji atas dedikasi beliau dalam memastikan kelancaran acara berkenaan.
Turut hadir memeriahkan program ini, Navine Lorin, Ketua Penerangan UPKO Kudat, Paul Sokulok, Setiausaha Penganjur UPKO Kudat, dan Dr. Ahzveens@Hilary Akian, Timbalan Ketua Jentera Pilihanraya UPKO.
Junsim turut menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru kepada semua hadirin.
Bagi penduduk yang hadir, program seumpama ini menunjukkan komitmen UPKO dalam mendekati dan membantu rakyat, sekaligus memperkukuhkan kehadiran parti di kawasan luar bandar seperti Pitas.
"Kejayaan program ini membuktikan bahawa UPKO terus relevan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat setempat," kata mereka.
Comments