UPKO Kudat hulur bantuan mangsa kebakaran di Kg Moliou
28 Disember 2024
KUDAT: Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kudat telah menyampaikan bantuan bakul makanan kepada lima keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Moliou, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pinapak, Bengkoka.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Saul Mosikul, Ketua PDM Pinapak, yang mewakili Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing bagi meringankan beban keluarga mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam insiden berkenaan.
Tragedi kebakaran yang berlaku pada 25 Disember 2024, bertepatan dengan sambutan Hari Krismas, telah memusnahkan lima buah rumah.
Ketika kejadian, kesemua penghuni rumah baru selesai menghadiri kebaktian Krismas di gereja berdekatan.
Saul menyampaikan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat dan menegaskan bahawa UPKO Kudat komited membantu komuniti setempat menghadapi situasi kecemasan seperti ini.
“Kami berharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa sementara mereka menunggu bantuan seterusnya daripada pihak berkuasa,” katanya ketika penyerahan sumbangan.
Dalam pada itu, mangsa kebakaran meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pihak UPKO Kudat yang bertindak pantas menghulurkan bantuan segera.
Sehingga kini, siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan oleh pihak berkuasa, dan langkah keselamatan tambahan akan diambil untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
Comments