UPKO Kudat Jayakan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru di Bengkoka

27 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KUDAT: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat menganjurkan Program Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru di Dewan Tamu Kanibongan, Bengkoka, semalam.
Program disempurnakan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson Wences Angang, mewakili Presiden UPKO Nasional Datuk Ewon Benedick.
Pengerusi Penganjur, Junsim Rumunzing berkata, beliau amat menghargai sokongan padu daripada Ewon, termasuk peruntukan dana untuk menjayakan program berkenaan.

Katanya, pelbagai pencapaian dapat dikecapi UPKO Kudat dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat besar kepada masyarakat pedalaman.
“Antara kejayaan besar yang dikongsikan ialah pemberian bantuan awal persekolahan dan pengajian melalui Yayasan Bank Rakyat Malaysia (YBR), salah satu agensi di bawah KUSKOP.
“UPKO Kudat dipilih sebagai perintis untuk menyalurkan peruntukan RM1 juta, khusus untuk membantu pelajar dari kawasan termiskin seperti Bengkoka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Lasimbang; Setiausaha Politik kepada Menteri KUSKOP, Carl Moosom dan Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang.
Junsim berkata, inisiatif ini amat bermakna bagi masyarakat pedalaman, terutama Bengkoka yang memerlukan perhatian lebih dalam aspek pendidikan dan pembangunan.
Katanya, ia membuktikan UPKO sentiasa komited memperjuangkan kebajikan rakyat.
Sementara itu, Nelson dalam ucapannya memuji usaha UPKO Kudat dalam memastikan kejayaan pelbagai program yang bermanfaat kepada rakyat.
Katanya, UPKO Kudat telah menunjukkan kepimpinan yang membanggakan dan percaya kejayaan ini akan terus memberi inspirasi kepada semua pihak dalam parti untuk bekerja lebih keras demi rakyat.
Terdahulu, Program Rumah Terbuka ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjungi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sambutan hangat ini membuktikan sokongan padu terhadap usaha UPKO Kudat dalam membina hubungan erat dengan rakyat, terutama di kawasan pedalaman.
Kommentare