UPKO Libaran yakin Ewon kekal Pengerusi PH Sabah
nabalunews
1 Februari 2025
SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran yakin Datuk Ewon Benedick akan kekal menjadi Pengerusi Pakatan Harapan Sabah.
Ketua Bahagian Libaran, Dr Peter Jr Naintin berkata, perkara itu dijangka akan disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, 4 Februari ini.
Katanya, ia sememangnya termaktub dalam perlembagaan PH bahawa setiap pemilihan Pengerusi PH Negeri perlu mendapat pengesahan oleh Majlis Presiden.
“Hari ini, saya mewakili jawatankuasa Bahagian Libaran bersatu hati memberikan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Sabah yang dipilih menerusi proses demokrasi.
“Kami percaya dengan karakter kepimpinan dan kemampuan Datuk Ewon untuk menerajui PH Sabah ke tahap yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bahagian UPKO Libaran dipejabatnya, semalam.
Dr Peter berkata, ia juga selaras dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang fokus dalam usaha mengangkat darjat rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Sementara itu, Dr Peter berkata, beliau sendiri sebagai delegasi UPKO Nasional pada Mesyuarat Majlis Presiden akan mendapatkan perkembangan politik nasional terkini untuk dibawa kepada akar umbi.
Terdahulu pada mesyuarat Bahagian Libaran, Dr Peter menegaskan UPKO Libaran telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 UPKO Nasional yang akan diadakan pada bulan April tahun ini di kawasan Parlimen Libaran.
Selain itu katanya, mesyuarat turut membincangkan mengenai Pemantapan Jentera Pilihanraya UPKO Libaran untuk menghadapi PRN Sabah dalam tahun ini.
Comments