top of page

UPKO PDM Nahaba Tegaskan Sokongan Penuh Kepada Ewon

nabalunews

10 Mac 2025


KOTA BELUD: Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nahaba Kota Belud bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah mengadakan mesyuarat penting bersama ketua-ketua cawangan, pergerakan Pemuda, Wanita, dan Generasi Muda (GEM) UPKO semalam yang berlangsung di Dewan Tamu Desa Layu Nahaba itu dipengerusikan oleh Ketua PDM Nahaba, Padis Magisan, yang juga Ketua Cawangan Kampung Nahaba.


Mesyuarat tersebut dihadiri oleh beberapa pemimpin utama cawangan, termasuk Ketua Cawangan Kampung Sogit-Sogit, Deren Liging, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nahaba, Ketua Cawangan Kampung Togudon, Norfazilan Abdullah, serta Ketua Cawangan Kampung Telungan, James Kayah.


Turut hadir sebagai pemerhati ialah Timbalan Ketua Bahagian (TKB) UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin, bersama Naib Satu UPKO Bahagian, Saikom Watis.


Dalam mesyuarat itu, pelbagai isu semasa dan cabaran yang dihadapi PDM Nahaba telah dibincangkan. Walau bagaimanapun, semua permasalahan dan persoalan yang dibangkitkan dijawab dengan terperinci oleh TKB, memastikan pemimpin cawangan mendapat gambaran jelas mengenai situasi semasa.


Menurut Padis, terdapat perkembangan positif di PDM Nahaba dalam penambahan sokongan yang mana akan ada penambahan cawangan baru UPKO di PDM Nahaba, yang kini dalam proses penubuhan.


Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara ahli-ahli UPKO di kawasan itu untuk memperkukuhkan parti dan memperjuangkan pembangunan.


"Kami berharap pembangunan di PDM Nahaba akan terus diperkasakan melalui sokongan daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga merupakan Presiden UPKO Nasional agar memastikan agenda pembangunan diteruskan," katanya.


Padis menegaskan, PDM Nahaba dengan sebulat suara mengambil ketetapan untuk menyokong penuh Ewon yang juga merupakan penyandang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, bagi mempertahankan kerusi DUN Kadamaian dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).


Carlye dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam mesyuarat ini dan menegaskan kepentingan kesatuan dalam parti menjelang PRN17.


"Saya berharap semua pemimpin UPKO di PDM Nahaba dapat terus bersatu, memperkukuhkan parti, dan memastikan persiapan rapi menghadapi PRN17. Perpaduan adalah kunci utama dalam memastikan kejayaan parti," katanya.


Dengan ketegasan PDM Nahaba dalam memberikan sokongan kepada Ewon, mesyuarat ini membuktikan kesepaduan ahli-ahli UPKO dalam menghadapi cabaran politik akan datang.

Tags:

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page