UPKO Penampang meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Kg Sugud
19 Mac 2022
Oleh Rowindy Belle
PENAMPANG: Wanita UPKO Penampang terus giat menganjurkan program misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan tanah runtuh di Kg Sugud, Penampang.
Pergerakan wanita tersebut diwakili Timbalan Ketua Wanita UPKO Penampang, Felimena Andreas dan AJK bahagian wanita UPKO Penampang.
Antara bantuan yang diberikan kepada mangsa tanah runtuh di Kg Timpango Sugud adalah dua gulung kanvas yang disumbangan oleh UPKO Penampang menerusi Setiausaha Bahagian, Bryan Matasing yang mewakili Ketua Bahagian Datuk Donald Mojuntin.
“Biarpun kejadian buruk itu berlaku pada bulan September tahun lalu, namun pembersihan dan aktiviti pembaikan masih dijalankan.
“Permohonan kanvas oleh dua keluarga iaitu Guinah dan Donysius adalah untuk mitigasi lereng bukit bersebelahan kediaman mereka yang sering dibanjiri lumpur semasa hujan lebat.” kata Timbalan Ketua bahagian UPKO Penampang, Carl Mosoom ketika dihubungi Nabalu News baru-baru ini.
“Kami memohon doa agar mangsa-mangsa banjir ini dan semua yang ditimpa bencana alam diberi perlindungan dan kekuatan semangat dari Tuhan pencipta segalanya.” tambahnya.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Ketua Daerah Mengundi UPKO PM Limbanak merangkap AJK Bahagian Penampang, Michael Sipajon.
Pada tahun lalu, seramai 937 mangsa yang terkesan akibat banjir teruk di Kampung Sugud.
Susulan kejadian tersebut, UPKO telah mengadakan beberapa aktiviti gotong-royong pada tahun lalu bersama DUN Kepayan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Comments